KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Titiwangsa disifatkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai hadiah buat dirinya setelah bekerja keras selama empat tahun enam bulan berkhidmat di Parlimen berkenaan meskipun tidak bergelar sebagai wakil rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Titiwangsa khususnya pengundi. Saya berasa segala penat lelah bekerja berbaloi walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Saya sentiasa berkhidmat untuk rakyat selama empat tahun enam bulan, akhirnya mereka menghargainya. Jadi, ini adalah hadiah bagi saya dan mengucapkan terima kasih kepada jentera serta pengundi kerana sekali lagi beri kepercayaan untuk lima tahun akan datang,” katanya di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, malam ini.
Beliau berkata demikian selepas diisytiharkan menang dengan majoriti 4,632 undi setelah meraih 25,042 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Khalid Abdul Samad mewakili Pakatan Harapan (PH) yang meraih 20,410 undi.
Dua lagi pencabarnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam meraih 14,518 undi serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) meraih 888 undi.
Tambahnya, beliau akan terus fokus pada permasalahan yang berbangkit di Parlimen Titiwangsa.
“Fokus selepas ini adalah saya mahu lihat apa sahaja isu berbangkit membabitkan Flat Sungai Baru, Pasar Raja Bot, Pasar Datuk Keramat dan Flat Tun Razak. Ini adalah isu yang saya akan bawa supaya kerajaan melihat semula bagaimana nasib mereka ini.
“Di samping itu, saya akan mainkan peranan yang lebih aktif dalam Parlimen khususnya untuk menyumbang dalam pembangunan sesebuah negara,” ujarnya. – UTUSAN










