Guru cipta Kit Binujar, bantu murid tulis kemas

Guru cipta Kit Binujar, bantu murid tulis kemas

MUHAMMAD Shahrol Harun (kiri) dan Siti Farah Marzuki menunjukkan buku Bijak Menulis Abjad Berekor (Binuja) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bagi mengatasi masalah tulisan murid yang tidak kemas, tiga guru muda tampil berinovasi dengan menghasilkan buku Bijak Menulis Abjad Berekor (Binujar) bagi menggantikan buku garis tiga yang digunakan selama ini di semua sekolah di seluruh negara.

Guru Bahasa Melayu, Muhammad Shahrol Harun, 24, berkata, idea untuk menghasilkan lembaran atau buku Binujar itu tercetus pada Mac lalu selepas melihat tulisan tangan murid-muridnya yang tidak kemas dan sukar dibaca.

Menurut Muhammad Shahrol yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1), murid akan menerima buku, alat genggam pensel (pencil grip) dan aplikasi percuma bagi realiti maya (VR) di dalam setiap set Binujar. 

Kit Binujar

Katanya, kit tersebut dihasilkan bagi mengatasi masalah menulis mekanis iaitu kekemasan menulis menggunakan tangan selain bertujuan meningkatkan motor memori murid untuk menulis abjad berekor.

“Kami melihat dalam konsep mekanis di mana ramai murid mempunyai masalah untuk menulis dengan kemas, jadi kami fokuskan kepada skop yang lebih kecil iaitu abjad berekor sebab itu dinamakan sebagai Binujar.

“Kami menggunakan lembaran kertas dan juga buku Binujar bagi menggantikan buku latihan garis tiga, masalah buku sedia ada ini sukar untuk mengawal bentuk tulisan murid walaupun terdapat garisan, kadang kala tulisan boleh jadi besar atau terlalu kecil.

“Sebab itu kami berinovasi dengan menggunakan kertas bergrid beserta warna garisan seperti lampu isyarat bagi mengawal bentuk, saiz dan ekor huruf tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.

Muhammad Shahrol yang baru memulakan tugas sebagai seorang pendidik itu berkata, kit tersebut merupakan hasil kerjasama secara berkumpulan dengan dua lagi rakan guru iaitu Ketua Panitia Bahasa Melayu, Farahwahida Anuar dan guru Bahasa Melayu, Siti Farah Marzuki.

Selain buku Binujar, kumpulan guru berkenaan turut mencipta permainan menggunakan aplikasi CoSpaces Edu digelar kit VR Binujar yang boleh dilihat melalui paparan 360 darjah melalui VR.

“Ini adalah salah satu inisiatif tambahan untuk menguatkan lagi ingatan murid sebab sekarang kita tak terlepas dengan penggunaan teknologi maklumat (IT), mesti kena ada elemen untuk tarik minat, jadi kita buat sendiri ‘coding’ untuk bina permainan tersebut,” ujarnya.

Muhammad Shahrol berkata, lembaran Binujar yang berbentuk grid mempunyai tiga warna iaitu merah, kuning dan hijau bagi memudahkan murid-murid untuk mengenal pasti cara untuk menulis abjad berekor.

“Murid boleh menulis huruf di kawasan berwarna hijau, manakala garisan kuning pula adalah tanda untuk mereka lebih berhati-hati ketika menulis terutama membabitkan huruf besar dan warna merah pula tanda supaya tidak melebih garisan tersebut.

“Sebelum ini terdapat 15 orang murid yang bermasalah untuk menulis di dalam kelas saya, jadi kita cuba guna lembaran Binujar. Kita buat latihan selama dua minggu berturut-turut membabitkan murid yang lemah menulis dan memang ada peningkatan apabila tulisan mereka lebih kemas dan teratur,” katanya.

Justeru, Muhammad Shahrol berharap kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menilai hasil inovasi yang dilakukan mereka dalam membantu murid yang bermasalah untuk menulis selain berjaya membawa kit Binujar menyertai pelbagai pertandingan.

Selain itu, katanya, mereka turut mempunyai perancangan masa hadapan untuk mengkomersialkan penggunaan buku Binujar bagi menggantikan buku latihan sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya