KUALA LUMPUR: Murid sekolah rendah tidak lagi diwajibkan untuk memakai tali leher bermula sesi persekolahan tahun depan selepas Kementerian Pendidikan mengambil kira keselesaan memakainya dalam cuaca panas.
Maklumat mengenai pemakaian tali leher itu terkandung dalam surat siaran Kementerian Pendidikan bertarikh 17 Disember lalu yang dimuat naik di laman web kementerian itu.
Berdasarkan surat ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad, keputusan dicapai hasil Mesyuarat Profesional KPM Khas 2025 yang berlangsung pada 8 Disember lalu.
Bagaimanapun, KPM menetapkan pemakaian tali leher masih dibenarkan berdasarkan keputusan permuafakatan pihak sekolah dengan ibu bapa.
Sehubungan itu, KPM menegaskan bahawa tiada pihak dibenarkan membuat sebarang paksaan atau tekanan terhadap murid berkaitan pemakaian tali leher ini.
“KPM sentiasa prihatin akan keperluan bagi ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing sebelum bermula sesi persekolahan baharu.
“Bagi memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan tersebut, dasar ini diputuskan hasil penelitian terhadap keperluan semasa murid berdasarkan faktor seperti yang berikut.
“Realiti iklim tempatan yang panas dan lembap menyebabkan pemakaian tali leher setiap hari kurang sesuai dan menjejaskan keselesaan murid dan keprihatinan KPM dalam usaha menangani beban kewangan isi rumah,” katanya. – UTUSAN










