KUBANG PASU: Polis menahan 14 remaja yang menggelar diri mereka, Geng Moto Binjal dalam operasi di Kampung Binjal Asun, Jitra di sini semalam atas pelbagai kesalahan trafik.
Operasi melibatkan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu diketuai Asisten Superintenden Mohd. Juhaisam Jusoh itu kemudian mengeluarkan 69 saman dan menyita 10 buah motosikal.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam operasi bermula pukul 5 petang itu pihaknya menahan kesemua remaja berkenaan di sekitar kampung terbabit setelah mendapat maklumat daripada orang awam.
“Remaja berkenaan ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos motosikal sehingga mengeluarkan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman penduduk selain tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 18 tahun itu dibawa ke balai sebelum dijamin oleh keluarga dan waris masing-masing. Polis berharap ibu bapa sentiasa memantau anak-anak mereka,” katanya di sini hari ini.
Polis menasihatkan orang awam agar terus menyalurkan dan berkongsi maklumat kegiatan seperti itu supaya pembanterasan dapat dilakukan dari semasa ke semasa. – UTUSAN










