PETALING JAYA: Ketika ramai berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibarisi majoriti golongan muda, hasrat itu tidak kesampaian apabila 57.35 peratus iaitu 795 daripada 1,386 calon yang bertanding berusia 50 tahun dan ke atas.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), angka itu meliputi 443 calon yang berusia antara 50 hingga 59 tahun, manakala 352 calon berusia 60 tahun ke atas.
Jumlah tersebut sekali gus mendominasi 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan kali ini.
Angka tersebut adalah jauh lebih ramai berbanding 591 calon yang berada dalam lingkungan umur antara 21 hingga 49 tahun.
Calon paling ramai dalam kumpulan belia adalah berusia 40 hingga 49 tahun iaitu 350 orang, diikuti 205 calon berusia 30 hingga 39 tahun, dengan hanya 36 calon berusia 21 hingga 29 tahun dan tiada calon berusia 18 hingga 20 tahun.
Ini meskipun Undi18 telah dilaksanakan, apabila pengundi dan calon berusia antara 18 dan 21 tahun dibenarkan bertanding dan mengundi dalam pilihan raya kali ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli mengakui kecewa dengan angka tersebut kerana ia jelas menunjukkan kelompok muda masih belum dapat mendominasi politik negara.
“Usia mengundi dan bertanding sudah diturunkan tapi nampaknya parti-parti politik masih belum cukup serius untuk mengetengahkan calon berusia 30-an ke bawah. Bukan sahaja orang muda, tetapi juga golongan wanita, Orang Asli dan sebagainya.
“Kalau mengikut suasana politik negara yang mahukan lebih ramai pemimpin muda, jumlah calon muda sepatutnya sejajar dengan pengundi berusia 40 tahun ke bawah. Kita harapkan parti-parti dapat mengutamakan agenda generasi baharu, contohnya memberi peluang lebih banyak kepada orang muda menjadi senator di Parlimen,” katanya ketika dihubungi.
Calon kerusi Parlimen tertua dalam PRU15 adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanding di Langkawi di usia 97 tahun manakala Karil Pg Kuraini calon kerusi DUN tertua pada usia 76 tahun yang bertanding di Bugaya.
Calon termuda pula ialah calon Bebas, Peggy Chaw Zhi Ting (Parlimen Tenom) pada usia 23 tahun manakala calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Syahmi Suhaimi adalah calon DUN termuda di usia 23 tahun apabila bertanding di Tambun Tulang.
Bagaimanapun, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim menyifatkan, calon yang diketengahkan mesti calon berkemampuan bukan sekadar mencukupkan kuota calon muda.
“Kita sokong calon muda dan Undi18 serta percaya dengan kemampuan orang muda tetapi pada masa sama kita meraikan hak demokrasi, kerana apa yang lebih penting calon itu mampu membawa pembaharuan. Jadi, kalau calon tua tidak semestinya tidak layak.
“Kalau calon muda itu ada nama dan ada rupa sekalipun jika dia bawa idea lama dan menyokong pihak yang korup tidak guna juga,” katanya. – UTUSAN










