Dakwaan Anwar hanya sedapkan cerita - Hishammuddin

Dakwaan Anwar hanya sedapkan cerita – Hishammuddin

HISHAMMUDDIN HUSSEIN bersama penduduk kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Batu 4, di Paloh, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: “Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada satu pun yang boleh dipercayai, malah ada yang sengaja ditokok tambah semata-mata mahu menyedapkan cerita.” 

Demikian ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta mengulas kenyataan berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijadikan isu ceramah Anwar sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau turut mencabar Presiden PKR itu menunjukkan bukti tentang setiap kenyataannya, seterusnya menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk diambil tindakan, namun hingga kini tiada apa-apa yang berlaku. 

“Hubungan saya dengan semua pemimpin tertinggi di setiap pasukan sama ada Darat, Laut dan Udara adalah baik dan mereka tidak pernah dihalang untuk membawa apa-apa isu kekurangan melibatkan pasukan keselamatan itu. 

“Saya sekarang ini tidak percaya apa yang Anwar Ibrahim cakap kerana kementerian sentiasa cuba memenuhi apa juga permintaan yang diperlukan oleh ATM,” katanya.

Hishammuddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sembrong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pekebun Kecil Makmur Bersama Penduduk Kampung Melayu Batu 4 di Paloh, dekat sini hari ini. 

Sementara itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong menasihati pengundi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen menerusi media sosial yang boleh mengganggu penilaian mereka menjelang hari pengundian, 19 November ini.

“Pengundi muda perlu bijak membuat keputusan dan bukan bersandarkan sentimen dalam media sosial, terutamanya apa yang keluar dalam aplikasi seperti Tik Tok yang banyak menyebarkan berita kurang tepat,” katanya.

Parlimen Sembrong yang mempunyai seramai 54,982 pengundi berdaftar akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Hishammuddin; calon PH, Hasni Abas dan Perikatan Nasional (PN), Aziz Ismail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.