Calon luar tidak faham denyut nadi rakyat - Azmin Ali

Calon luar tidak faham denyut nadi rakyat – Azmin Ali

PN
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Penyandang tiga penggal kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin dengan khidmat dan pembangunan yang telah dilakukan selama 10 tahun untuk terus dipilih sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Azmin berkata, calon luar yang bertanding dalam PRU-15 merebut kerusi tersebut tidak memahami keperluan dan suara rakyat malah hanya kerap turun padang ketika musim pilihan raya sahaja.

“Saya yakin pengundi kini lebih matang. Saya sudah satu dekad menjadi wakil rakyat Gombak dan banyak pembangunan termasuk membela nasib rakyat telah dilakukan.

“Saya yakin dapat meneruskan kesinambungan tradisi membela rakyat di Gombak. Calon luar tidak dapat memahami denyut nadi rakyat. 

“Mereka datang sekali sekala dan hanya lebih kerap bila tiba musim pilihan raya,” katanya.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu ditemui ketika menghadiri majlis ramah mesra dengan penduduk Pangsapuri Taman Keramat Permai, di sini.

Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan lima penjuru yang terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH),  calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir dan calon bebas, Zulkifli Ahmad.

Dalam pada itu, Azmin berkata, dia bukan sekadar menabur janji pilihan raya tetapi telah membuktikan khidmat sepanjang menjawat Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Masih banyak lagi agenda yang menjadi harapan dan hasratnya untuk dilaksanakan di kawasan itu. Saya bukan bercakap sekadar menabur janji pilihan raya, tetapi membuktikan harapan.

“Ketika saya jadi Menteri Besar, saya memperuntukkan kira-kira RM400 juta kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) untuk pembangunan Islam di seluruh negeri.

“Jumlah itu adalah peruntukan yang digunakan sesebuah negeri untuk keseluruhan pembangunan, tetapi saya sediakan sebanyak itu hanya untuk JAIS sahaja,” katanya.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN