KEMAMAN: Barisan Nasional (BN) tidak wajar menyalahkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas prestasi hambar gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, semua pihak tidak sepatutnya meletakkan kesalahan di bahu Ahmad Zahid sahaja atas kekalahan BN.
“Kenapa dia seorang kena berhenti (berundur). Kita (BN) kena ambil tanggungjawab bersama. Kalau macam tu, hancurlah UMNO dan siapa nak tanggungjawab?.
“Dia (Ahmad Zahid) Presiden parti, kita dah pilih dia, dah beri mandat untuk tentukan hala tuju parti. Jangan salahkan Presiden seorang. Kita dah kalah, nak buat macam mana, kena terima.
“Kalau tak berpuas hati, nak berlawan ke, tunggu pemilihan (UMNO) akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan gabungan yang dipilih bagi pembentukan kerajaan.
“Kita tunggu keputusan yang dibuat pucuk pimpinan, mereka sedang berunding.
“Kita berikan mandat kepada pucuk pimpinan untuk buat pilihan terbaik dalam soal gabungan ini,” katanya. –UTUSAN