KUALA NERUS: Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘king maker’ dalam menentukan pembentukan kerajaan baharu di Parlimen.
Beliau berkata, setakat ini, tiada parti yang menang majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus menyebabkan Parlimen masih tergantung.
“BN kini menjadi ‘king maker’ dalam menentukan hala tuju politik negara. Sebarang pertimbangan tentulah apa yang terbaik untuk agama Islam dan rakyat. Apa pun tahniah kepada calon-calon yang terpilih. Semoga dapat berkhidmat kepada rakyat dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada PRU15, semalam, Mohd. Khairuddin yang bertanding atas tiket BN di Kuala Nerus tumbang kepada calon Pas, Datuk Dr. Alias Razak yang memperoleh majoriti 29,766 undi.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Mohd. Khairuddin gagal mempertahan Parlimen Kuala Nerus yang dimenangi beliau pada 2018 ketika masih bersama Pas.
Sementara itu, katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat Kuala Nerus dan membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, tahun depan.
“Banyak pelajaran perlu diambil untuk memenangi PRN. Saya akan terus turun padang bertemu rakyat awal minggu ini selepas beberapa pertemuan penting selesai di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, beliau juga akan mengadakan majlis kenduri rakyat sebagai ucapan terima kasih kepada para pengundi dan jentera dalam waktu terdekat. – UTUSAN