PETALING JAYA: Meskipun bertembung dengan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), konsert kumpulan rock Indonesia, Slank tetap akan diteruskan pada 19 November ini.
Jurucakap penganjur dari TBRW Global Sdn Bhd, Wan Norul Fadly berkata, berdasarkan jualan tiket yang sudah hampir habis, pihaknya yakin PRU15 tidak akan menjejaskan perjalanan konsert itu.
“Konsert ini sudah dirancang tiga bulan sebelum tarikh PRU15 diumumkan. Segala perincian berkaitan konsert sudah diuruskan dan mendapat kelulusan, jadi kami ambil pendekatan untuk teruskan persembahan.
“Jualan tiket juga hanya berbaki 15 peratus dan melihat sambutan memberangsangkan itu, kami yakin PRU15 tidak jejaskan perancangan memandangkan konsert diadakan pada sebelah malam,” katanya.
Slank yang dianggotai oleh Kaka (penyanyi), Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) pula mengakui, sudah tidak sabar untuk beraksi di Zepp Kuala Lumpur selepas kali terakhir membuat persembahan di negara ini pada 2014.
Kaka mewakili ahli kumpulannya pada sidang media secara maya memaklumkan, Kuala Lumpur menjadi antara destinasi pilihan kerana mereka sudah terlalu rindu untuk bertemu peminat di negara ini.
“Meskipun bertembung dengan tarikh PRU15, kami yakin semuanya akan berjalan dengan aman dan lancar, insya-Allah.
“Sudah lama tidak beraksi di Kuala Lumpur dan apabila mendapat kesempatan, kami tidak mahu lepaskan peluang kerana rindu sangat dengan peminat di sana,” katanya.
Kaka juga memaklumkan, mereka teruja apabila penganjur mengumumkan ratu rock, Ella akan turut beraksi sebagai artis undangan konsert tersebut.
“Kami pernah bertemu Ella, tetapi belum berkesempatan untuk menyanyi bersama-sama.
“Ini kali pertama Slank dapat bergandingan dengan Ella dan kami akan menyanyikan antaranya lagu dangdut popular yang diberi susunan baru,” katanya.
Slank yang popular dengan lagu Ku Tak Bisa itu bakal menghiburkan peminat mereka dengan rangkaian lagu-lagu popular sepanjang 40 tahun dalam industri muzik.
Slank merupakan kumpulan rock terbesar di Indonesia yang berasal dari Jakarta. Kumpulan ini ditubuhkan pada 26 Disember 1983 oleh remaja di lorong di Jakarta yang bergelar Gang Potlot, dengan membawa muzik aliran rock.
Pada usia mencapai 40 tahun, Slank sudah mengeluarkan 24 album dan itu merupakan kunci keberadaan mereka untuk terus bertahan dalam industri muzik.