Bentuk Kabinet berwibawa

Bentuk Kabinet berwibawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Kabinet kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibentuk dalam kalangan pemimpin berwibawa tanpa perlu mengikut hierarki dalam parti, sebaliknya sebuah pasukan yang merangkumi pelbagai kepakaran.

Ia adalah selaras dengan komitmen dan jaminan Perdana Menteri sendiri yang mahukan saiz Kabinet yang kecil dan bersedia dikurangkan gaji.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, walaupun Anwar mahu membentuk Kabinet bersandarkan kepada kekuatan parti dalam kerajaan beliau, namun pilihan jemaah menteri harus mengetepikan soal kedudukan itu.

Malah, kata beliau, tidak salah untuk Anwar melantik pemimpin dalam kalangan wakil rakyat yang kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini bagi menggambarkan kewibawaan kerajaan yang mahu berkhidmat untuk rakyat dan negara.

TEWAS

“Ada dalam kalangan mereka yang tewas ialah mereka yang berwibawa, tak kiralah daripada parti mana kerana jemaah menteri inilah yang menentukan kejayaan dan keberkesanan Kabinet Anwar.

“Kalau Anwar sahaja yang nampak gah dan hebat, itu tak cukup, ia memerlukan bantuan daripada rakan-rakan sepasukan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, mengulas dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof merupakan calon sesuai untuk jawatan itu.

Katanya, kedua-dua mempunyai watak sederhana dan berpengalaman untuk mengimbangi watak kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Selain pengalaman dan kelayakan mereka, ia berdasarkan senioriti Mohamad dan Fadilah sebagai orang kanan parti.

“Berkenaan jawatan menteri lain, ia terserah kepada Perdana Menteri untuk memilih individu dan berkelayakan,” jelasnya.

Berhubung pelawaan Anwar kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai kerajaan perpaduan, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik & Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, PN perlu mempertimbangkannya dan berunding mengenai syarat-syarat yang selari dengan prinsip blok parti itu.

Kata beliau, politik Malaysia hari ini ialah politik baharu dan jika semua pemimpin politik mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, maka inilah masanya untuk mengenepikan sementara perbezaan politik demi rakyat.

LETIH

Beliau berkata, rakyat sudah letih dengan percakaran politik sedia ada, maka tidak salah untuk menyertai kerajaan perpaduan dengan syarat tidak melanggar prinsip asas perjuangan PN.

“Jika PN bersetuju menyertai kerajaan perpaduan, saya melihat Kabinet Anwar akan terdiri daripada pelbagai wakil politik. Malah, keadaan ini memperlihatkan kematangan politik dengan penyertaan rentas parti untuk kali pertama dalam sejarah politik negara semenjak merdeka,’’ katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu akan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen dan memilih untuk bekerjasama menerusi pendekatan lain.

“Atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak imban yang berkesan dalam Parlimen, PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan,” katanya susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Pas akan membincangkan tawaran menyertai kerajaan perpaduan.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, rakyat mahu melibat Kabinet kecil tetapi padat dengan kualiti merangkumi setiap blok melangkaui batasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, latar belakang agama, etnik, gender dan kenegerian serta ada kepakaran dan ketokohan ahlinya.

“Wajar tidak melebihi 25 orang. Timbalan Perdana Menteri boleh dua orang (seorang Semenanajung dan seorang blok Borneo),” katanya.

Jelasnya, PN wajar sertai kerajaan perpaduan ini untuk memberikan kekuatan kepada kepelbagaian dan masa depan yang lebih baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN