Belia, wanita antara tumpuan PN

Belia, wanita antara tumpuan PN

MUHYIDDIN Yassin (tengah) menunjukkan isyarat bagus ketika melancarkan Tawaran Perikatan Nasional, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menjadi peneraju yang menawarkan inisiatif kepada empat kelompok utama iaitu golongan belia, wanita, agenda Bumiputera dan juga penjawat awam.

Empat kelompok itu menjadi tumpuan dalam dalam tawaran PN yang menawarkan pelbagai inisiatif serta perancangan khusus ke arah pembangunan sosioekonomi negara yang lebih inklusif.

Parti berkenaan dalam kenyataannya berkata, kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam membawa agenda belia menerusi beberapa inisiatif dan tawaran khusus merangkumi pelbagai aspek yang membawa kemajuan kepada golongan sasar.

“Antaranya ialah menjadi satu-satunya parti yang menetapkan kuota sekurang-kurangnya dua Senator dalam Dewan Negara untuk belia dan beliawanis bagi memastikan suara mereka diwakili di Parlimen.

“Mewujudkan sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa hadapan dalam tempoh lima tahun dan mewajibkan syarikat p-hailing dan e-hailing menyediakan perlindungan insurans Takaful kepada semua pekerja.

“PN juga menyediakan insentif RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) yang diiktiraf dan pembiayaan perumahan tanpa faedah bagi keluarga muda,” katanya.

Selain itu, PN juga menawarkan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama serta mewujudkan dana khas pengantin baharu buat pasangan muda untuk membina keluarga.

Sementara itu katanya, PN juga akan menaikkan elaun latihan amali di sektor awam kepada RM1,200 sebulan selain memperkasa pembangunan bakat e- sports dengan memperkenalkan stadium khas e-sports dan program mencungkil bakat masa depan e-sports.

Dalam pada itu, katanya, PN juga turut menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran yang langsung tidak meminggirkan golongan wanita.

Tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting buat mereka dan sebanyak 14 elemen khusus untuk wanita telah disenaraikan.

Antaranya ialah pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000 seorang dengan mengembangkan DanaNita – wanita bangkit berniaga bagi membantu usahanita baharu dan 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan utama bagi sektor awam dan swasta menjelang tahun 2025 dengan melaksanakan sistem intervensi agresif.

PN juga memberi jaminan pelepasan cukai tambahan RM1,000 bagi semua wanita yang bekerja selain menawarkan Skim Perlindungan Surirumah RM800 dengan caruman sebanyak RM100. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN