Bajet 2023 berkemungkinan dibentang semula

Manfaat yang lebih baik buat rakyat, Bajet 2023 berkemungkinan dibentang semula

ISMAIL Sabri Yaakob menyerahkan peranti siswa kepada salah penerima selepas merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau di Selangau, Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELANGAU: Peruntukan Bajet 2023 berkemungkinan bakal dibentang semula agar lebih baik manfaatnya jika kerajaan yang sama memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Perdana Menteri berkata, Bajet 2023 perlu dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat supaya intipati bajet Persekutuan dapat dilaksanakan.

“Kita telah mengumumkan bajet tetapi jika parti politik lain membentuk kerajaan, kita tidak boleh pastikan kita akan mempunyai bajet yang sama atau kerajaan baharu akan keluar dengan yang baharu.

“Kita tidak boleh mengawal ini tetapi jika kita mempunyai kerajaan yang sama, kerajaan BN (jika diberi mandat) sudah tentu akan membentangkan bajet itu semula kerana kebanyakan manifesto kita adalah berdasarkan bajet yang dibentangkan,” tambahnya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau di sini, hari ini. 

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO turut memberi keyakinan bahawa mereka mampu memperoleh lebih 112 kerusi pada PRU15.

“Ya, kita kena yakin. Setiap parti yang bertanding (dalam pilihan raya) perlu yakin. Kami yakin boleh memenangi semula kerusi itu,” katanya. 

Beliau juga turut menegaskan, jika kemenangan berdasarkan majoriti mudah, kerajaan akan kekal stabil berikutan penguatkuasaan undang-undang lompat parti.

“Sekarang ia berbeza berbanding dahulu, dahulu majoriti mudah sangat berbahaya kerana masih boleh lompat parti. 

“Sekarang dengan tindakan lompat parti, dia perlu mengosongkan kerusi yang dimenanginya dan menyertai pertandingan semula,” tambahnya.

Ditanya mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ismail Sabri berkata, walaupun GPS bukan komponen parti BN namun mereka mempunyai sejarah panjang dan memahami antara satu sama lain.

“Kami memahami aspirasi rakyat Sarawak kerana hubungan walaupun kami berbeza sekarang. Tetapi kami masih bersama contohnya semasa saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kami, dia (GPS) tidak menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Malah, apabila kita membentuk kerajaan baharu, GPS juga bersama kita. Jadi, pastinya hubungan itu akan berterusan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN