Artis bertanding PRU15 sebab minat, bukan ‘sendu’ - Mas Idayu

Artis bertanding PRU15 sebab minat, bukan ‘sendu’ – Mas Idayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dangdut popular, Mas Idayu tidak mempunyai masalah dengan mana-mana artis yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kerana ia bergantung kecenderungan dan pilihan masing-masing.

Peredaran zaman juga jelasnya, menyebabkan selera manusia berubah-ubah dan inginkan peningkatan dalam kehidupan, sama seperti kitaran lagu.

Mas Idayu yang popular dengan lagu Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan juga menepis dakwaan golongan selebriti yang menceburi arena politik kerana sudah ‘sendu’ dalam bidang seni.

“Bukan sebab sendu, tetapi apa yang dia mahukan dalam hidup. Sebagai manusia, kita sentiasa inginkan peningkatan dalam hidup dan tidak mahu berada pada takuk lama. Sama juga seperti kita dengar lagu, esok lusa kita mahu dengar lagu lain pula.

“Saya percaya mereka yang buat keputusan hendak menceburi politik ini sudah berfikir jauh dan tahu apa yang mereka lakukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

PRU15 menyaksikan empat selebriti bertanding dengan tiga daripadanya mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) iaitu Datuk Seri Eizlan Yusof yang bertanding di Parlimen Sabak Bernam, pengarah dan pelakon, Ahmad Idham (Port Dickson) dan Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando (Tanjong Karang).

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli pula bertanding atas tiket PKR di Parlimen Lenggong.

Mas Idayu juga menyeru kepada semua rakyat yang layak mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November ini kerana setiap undi sangat bermakna.

Penyanyi yang kini bergelar usahawan itu juga memaklumkan akan pulang mengundi di Kota Tinggi, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN