Alam sekitar: Ahli Parlimen PH lebih ramai bangkit

Alam sekitar: Ahli Parlimen PH lebih ramai bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 12 ahli Parlimen disenarai dalam ka­tegori ‘12 ahli Parlimen teratas’ yang sering membangkitkan persoalan dengan menyebut kata kunci ‘alam sekitar’ sepanjang Persidangan Dewan Rakyat bagi tempoh 2018 hingga 2022.

Majoriti dalam kalangan mereka terdiri daripada wakil rakyat pembangkang ketika itu iaitu Pakatan Harapan (PH).

Data itu diperoleh menerusi kajian dijalankan oleh badan rangkaian kempen global, Greenpeace menerusi liputan media dan transkrip soalan mesyuarat Parlimen (hansard) antara tahun 2018 hingga Oktober 2022 dengan mengenal pasti soalan-soalan dibangkitkan ahli Parlimen menyebut kata kunci ‘alam sekitar’.

Setakat kemas kini pada 11 November 2022, Greenpeace turut memilih 91 kata kunci berbeza (Bahasa Melayu) dan 80 kata kunci sepadan (Bahasa Inggeris) yang terkait topik alam sekitar seperti perubahan iklim, cuaca ekstrem, pencemaran, sisa, kemusnahan ekosistem, bahan fo­sil, penebangan hutan, perubahan guna tanah dan air.

Senarai ahli Parlimen itu ialah Wong Tack (PH-DAP, Bentong); Yeo Bee Yin (PH-DAP, Bakri); Chow Kon Yeow (PH-DAP, Tanjong); Che Alias Hamid (Pas-Kemaman); Koo Poay Tiong (PH-DAP, Kota Melaka); Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat); Charles Anthony Santiago (PH-DAP, Klang); Wong Chen (PH-PKR, Subang); Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau); Shaharizukirnain Abd. Kadir (Pas-Setiu); Nurul Izzah Anwar (PH-PKR, Permatang Pauh) dan Hasanuddin Mohd. Yunus (PH-Amanah, Hulu Langat).

Wong Tack, Bee Yin dan Kon Yeow tersenarai sebagai ‘Top 3 MP’s’ yang kebanyakannya membangkitkan isu sama dalam Dewan Rakyat dengan masing-masing memperoleh 50, 46 dan 39 bilangan soalan menyebut kata kunci alam sekitar.

Greenpeace mendapati seramai 34 ahli Parlimen ‘TIDAK PERNAH’ membangkitkan soalan menyebut kata kunci alam sekitar, menyaksikan 10 ahli Par­limen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Barisan Nasional (BN) (lapan); Pakatan Harapan (PH) (enam); Gabu­ngan Parti Sarawak (GPS) (empat), Parti Warisan (Warisan) (dua); manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Cinta Sabah (PCS) masing-masing satu (1).

Antara nama besar yang tidak pernah menyebut kata kunci alam sekitar di Parlimen ialah Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan); Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi); Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh); Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna); Da­tuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak); Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut).

Selain itu, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali (Bersatu-Gombak); Datuk Seri Rina Harun (Bersatu-Titiwangsa); Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Bersatu-Indera Mahkota) dan Datuk Zuraida Kamaruddin (PBM-Ampang) turut tersenarai dalam kalangan ahli Parlimen tidak menyebut kata kunci berkait alam sekitar.

Menyebut ‘kata kunci alam sekitar’ tidak semestinya menunjukkan pendirian pro-alam sekitar, kerana kajiannya berdasarkan data yang diekstrak daripada hansard Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya