Aksi lagak ngeri: Risiko atau kepuasan pelakon?

Aksi lagak ngeri: Risiko atau kepuasan pelakon?

SYAMSUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA baru-baru ini, pelakon, Beto Kusyairy melontarkan kenyataan dalam satu temu bual bahawa seseorang pelakon yang melakukan aksi lagak ngeri sendiri, tidak semestinya layak diangkat sebagai pelakon yang bagus.

Mungkin ketika itu, dia bercakap tentang dirinya sendiri selaku pemegang watak dalam drama lakonannya iaitu Halimun. Tetapi, mungkin pandangan sesetengah anak seni tidak sama.

Ada pelakon menganggap ia sebagai satu kepuasan. Ada pelakon lain pula mungkin beranggapan ia terlalu berisiko dan mampu menjejaskan fizikal sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan di set penggambaran.

Bagaimanapun, adakah melakukan aksi lagak ngeri itu menjadikan seseorang pelakon bagus atau hebat? Berikut adalah beberapa pandangan yang dikumpulkan berhubung isu ini.

Memang puas kalau berani – Rosyam Nor

SEBAGAI pelakon yang pernah membintangi banyak filem aksi, Datuk Rosyam Nor berkata, melakukan aksi lagak ngeri sendiri adalah satu bentuk kepuasan sekiranya seseorang pelakon mempunyai tahap keberanian yang tinggi.

Pelakon senior paling laris sepanjang zaman itu memberitahu dia sendiri akan memilih untuk melakukan aksi tersebut bersesuaian dengan kadar keupayaan dirinya.

“Kalau kita buat sendiri memang akan rasa puas tetapi ikut keberanian juga. Kalau tidak berani, lebih baik jangan buat. Sebabnya, pelakon aksi lagak ngeri memang sudah dilatih melakukan tugasan mencabar tersebut.

“Saya sendiri akan buat aksi lagak ngeri kalau mampu, tetapi kalau bahaya saya akan minta pelagak ngeri lakukan,” katanya.

Mengulas risiko yang bakal dihadapi sekiranya seseorang pelakon nekad memilih mempamerkan aksi lagak ngeri sendiri, Pengarah Urusan syarikat produksi, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu tidak menolak kemungkinan pelakon perlu menanggung kos sendiri.

“Kalau di Malaysia, jika pelakon itu sendiri yang buat aksi lagak ngeri memang kena tanggung sendiri. Jadi, kalau adegan itu memang berisiko sebaik-baiknya pakai pelagak ngeri.

“Kalau dia yakin hendak buat sendiri silakan. Kalau terjadi apa-apa, sebenarnya kos perubatan itu boleh sahaja berbincang dengan pasukan produksi,” jelasnya.

Bagaimanapun, secara tuntas, pelakon filem KL Gangster 2 itu sebenarnya menekankan kepentingan pelagak negeri berada di lokasi penggambaran kerana aksi yang mereka tonjolkan lebih nampak hebat berbanding pelakon sendiri.

Katanya, pelagak ngeri boleh buat di luar bidang pemikiran manusia sehingga mengagumkan khalayak penonton sedangkan berbeza dengan golongan pelakon yang belum tentu mencapai tahap sedemikian.

“Tetapi ada sahaja pelakon sendiri yang buat aksi lagak ngeri nampak lebih kemas, itu terpulang. Contohnya seperti Jackie Chan dia sendiri akan buat aksi berbahaya sebab dia sendiri adalah pelakon lagak ngeri.

“Kita juga ada pelakon seperti Pablo Amirul yang sebelum ini dia adalah pelagak ngeri,” katanya.

Sentiasa hormat permintaan pelakon – Syamsul Yusof

Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof menegaskan setiap adegan atau babak lagak ngeri perlu mendapatkan persetujuan daripada pelakon sendiri khususnya melibatkan aksi yang mencabar.

Katanya, perbincangan di set penggambaran sangat penting supaya kedua-dua pihak jelas dan faham terhadap segala risiko yang boleh terjadi.

“Kadang-kadang pelakon sendiri yang teringin hendak buat. Kalau dia tidak mahu, memang saya akan hormat permintaan mereka sendiri.

“Kalau melibatkan aksi tidak bahaya, sudah semestinya saya mahu pelakon sendiri yang lakukan sebab impaknya lebih dekat dengan sesebuah babak.

“Kalau setakat babak tendang sampai jatuh ke tanah pun pelakon tak nak buat, itu ‘diva’ namanya,” katanya.

Selain itu, Syamsul sendiri yang pernah merasakan pengalaman patah tulang bahu kiri semasa menjayakan satu babak aksi pada 2016 berkata, setiap aksi lagak ngeri bergantung kepada lakon layar dan visual yang diinginkan setiap pengarah.

Jelasnya, aksi lagak ngeri yang dilakonkan sendiri oleh pelakon lebih memberikan kepuasan, namun perlu mempunyai perancangan rapi dari aspek keselamatan.

“Babak aksi bukan hanya antara pengarah dan pelakon sahaja. Saya sendiri selalu berkomunikasi dengan pelakon lagak ngeri tidak kisah sama ada dari dalam atau luar negara sebab ini melibatkan nyawa manusia.

“Walaupun pelakon aksi tersebut profesional, sebagai pengarah, saya sentiasa ambil tahu mengenai babak apa yang akan dilakukan.

“Semua pengarah filem perlu ambil tahu sebab pernah berlaku dahulu sehingga mengorbankan nyawa melibatkan produksi di negara kita,” katanya.

Mengulas kos perubatan sekiranya terjadi kemalangan di set penggambaran, Syamsul berkata, persefahaman dan perbincangan awal sangat penting.

“Kebanyakan pengarah termasuk saya sendiri memang akan menanggung kos perubatan terhadap pelakon yang mengalami kecederaan.

“Walaupun sesebuah babak itu tidak besar, tetapi boleh mendatangkan risiko seperti patah tangan dan kaki seperti yang pernah berlaku pada diri saya,” katanya.

Ada pelakon sesuai buat ‘stunt’, ada yang tidak – Elizabeth Tan

Merupakan antara pelakon wanita yang sukakan cabaran dan beraksi lasak, Elizabeth Tan, mengakui, tidak semua pelakon itu terlihat sesuai untuk melakukan aksi lagak ngeri atau stunt sendiri memandangkan ia juga memerlukan kemahiran tertentu.

Bagaimanapun, katanya yang senang dipanggil sebagai Lizzy,  antara stunt dan lakonan, ia merupakan dua elemen yang berbeza dan set kemahirannya juga tidak sama.

“Kedua-duanya pun memerlukan latihan tersendiri. Ada ramai pelakon yang memang hebat berlakon tetapi mungkin tak sesuai dan juga tak berminat nak buat aksi-aksi lagak ngeri.

Malah, ada juga ramai stuntman atau stuntwoman yang memang hebat buat aksi lagak ngeri tetapi tak semestinya pandai berlakon.

“Saya pun tak adalah buat aksi sendiri sangat dan banyak buat adegan berlawan sendiri saja.Tetapi, babak aksi lagak ngeri sebenar, contohnya kena baling ke cermin sampai pecah, ‘backflip’, jatuh atas meja sampai pecah, itu semua kena ada pelakon aksi profesional buat.

“Jarang kita dapat jumpa orang yang hebat buat aksi lagak ngeri sendiri dan dalam masa yang sama dia hebat berlakon.

“Bagi saya, antara yang ada mungkin Jackie Chan, Tom Cruise, atau pelakon tempatan seperti Hairul Azreen. Saya memang tabik hormat pada mereka sebab apa yang mereka buat memang tak mudah,”katanya.

Tambah pelakon filem Abang Long Fadil 3 ini lagi, dia juga sedar melakukan aksi lagak ngeri memang ternyata berisiko buat seseorang pelakon terbabit.

“Jika babak di set itu terlalu berisiko, ‘stunt double’ yang akan buatkan. Ini kerana,kalau pelakon sendiri cedera, dah tak boleh nak ‘shoot’ apa-apa dah. Jadi untuk saya komen lebih-lebih sama ada kalau buat sendiri lebih puas hati atau tidak, rasa macam tak kena.

“Sebabnya, saya belum buat apa-apa yang merisikokan.Saya banyak adegan berlawan. Tapi saya memang minat pun buat aksi berlawan. Walaupun pernah buat babak aksi berlawan sampai lebam-lebam badan, saya rasa puas,”katanya.

Perlu asas, persiapan – Eman Manan

Pelakon bertaraf legenda, Eman Manan berpandangan setiap pelakon perlu mempunyai asas dan kemahiran sebelum melakukan aksi lasak atau lagak ngeri.

Kata Eman, perkara itu penting untuk mengelakkan berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa di set penggambaran.

“Asas penting. Jangan disebabkan orang lain buat, kita pun nak. Walhal, asas pun tak ada.

“Kalau disuruh, tapi kita tak mampu, lebih baik bincang dengan penerbit atau pengarah. Begitu juga kalau pelakon itu sendiri yang mahu lakukan aksi ngeri, bincang dulu dengan pihak berkaitan. Jangan main buat sahaja.

“Aksi ngeri boleh dibuat tetapi kena ada persiapan yang betul-betul mantap. Ada pelaku (lagak ngeri) terlatih yang boleh melakukannya. Ada kelengkapan tertentu yang perlu disediakan. Perkara ini tidak remeh,” katanya.

Dalam masa yang sama, pelakon filem Matinya Seorang Patriot itu juga memaklumkan, setiap pelakon kena peka dan faham satu-satu tawaran lakonan sebelum menyatakan persetujuan.

“Berlakon adalah satu profesion yang mana dibawahnya ada komuniti, keperluan, persiapan dan kelengkapan tertentu.

“Sebelum tandatangan kontrak, pelakon kena betul-betul faham apa yang penerbit atau pengarah minta mereka lakukan ketika di set penggambaran. Kena dapatkan penjelasan dari pengarah atau penerbit.

“Tengok keupayaan masing-masing sama ada sanggup ataupun tidak sekiranya diminta melakukan aksi lagak ngeri atau apa sahaja aksi yang diperlukan untuk satu-satu babak itu,” ujarnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×