7 lelaki mengaku bersalah merusuh, terbalikkan kereta 

7 lelaki mengaku bersalah merusuh, terbalikkan kereta 

Tujuh lelaki mengaku bersalah merusuh sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada 3 November lalu di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, hari ini - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merusuh sehingga menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada 3 November lalu.

Empat daripada mereka merupakan penghantar makanan P-Hailing, manakala tiga yang lain ialah penuntut, penjual topi secara dalam talian dan pembaiki mesin basuh serta televisyen.

Kesemua tertuduh, Muhammad Adam Abd. Rahim, 18; Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Anak Mada, 19, Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21, dan Romie Rahimi, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah melakukan khianat dengan merosakkan cermin dan pintu kereta dan menterbalikkan kereta jenis Perodua Myvi milik Tan Jing Hui, 21, menyebabkan dia menanggung kerugian berjumlah RM15,000.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar dan membaling batu dan menterbalikkan kereta itu di sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 9.40 malam, Khamis lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan jaminan rendah kerana masing-masing tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berpendapatan antara RM1,200 hingga RM1,500 serta mempunyai tanggungan ahli keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie memberitahu, kesalahan mengikut seksyen itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan pihaknya mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 seorang.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kejadian serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Hidayatul Syuhada kemudian menetapkan tarikh 18 Disember untuk sebutan semula kes bagi pendengaran fakta dan hukuman.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video dalam media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak memecahkan cermin kereta Perodua Myvi sebelum kereta itu diterbalikkan.

Kekecohan itu berlaku selepas kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya