Tun M ulangi pendirian sedia kerjasama pembangkang

Tun M ulangi pendirian sedia kerjasama pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi pendirian sedia bekerjasama dengan pembangkang sepertimana yang berlaku sebelum pilihan raya umum 2018. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, prinsip tersebut tetap tidak berubah sekali gus sekali lagi mengetepikan perasaan peribadi untuk menjatuhkan musuh negara. 

“Tidak timbul soal saya mahu atau tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin pembangkang lain hari ini.

“Tetapi saya tak pasti jika pemimpin pembangkang telah berubah fikiran dan perasaan terhadap UMNO, sama ada mereka masih anggap UMNO akan merosakkan negara atau tidak.

“Atau mungkin juga ada dalam kalangan pemimpin pembangkang yang bersedia bekerjasama dengan UMNO selepas pilihan raya. Itu terserah kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu dilaporkan sedia untuk bertemu dan berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Ini kerana Dr. Mahathir menyifatkan, kedua-dua pihak mempunyai matlamat sama, selain menegaskan tidak kisah jika ada yang melabel beliau tidak malu kerana sedia bertemu Anwar.

Dalam pada itu, mengimbau perjalanan PRU14, kekalahan Barisan Nasional (BN) cukup menjelaskan kenapa beliau sanggup bekerjasama dengan musuh politiknya ketika itu. 

“Keputusan saya itu telah membuahkan hasil hingga kerajaan yang rasuah dan yang merompak harta negara dijatuhkan,” ujarnya. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN