fbpx

Tubuh badan Najib kian susut – Nooryana Najwa

NOORYANA Najwa Najib berucap di hadapan 400 perwakilan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di Baitul Tariq, Klebang Permai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Tubuh badan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini susut kerana mengalami tekanan perasaan berikutan merindui ahli keluarga dan akar umbi UMNO, kata anaknya, Nooryana Najwa.

Beliau berkata, oleh itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menegakkan keadilan sewajarnya jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau tetap yakin ayahnya tidak bersalah walaupun Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

“Banyak perkara dipohon ayah telah dinafikan kerana itu saya minta UMNO dan BN mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan jika menang PRU15. Tiada lagi orang lain menjadi mangsa selepas apa yang terjadi kepada ayah.

“Cukup memeritkan buat anak-anak dan adik-beradik melalui saat paling menyukarkan. Ayah kini terpaksa belajar hidup seorang diri jauh daripada keluarga sejak berada di penjara.

“Kelmarin saya jumpa ayah, dia semakin susut mungkin sebab stress (tertekan) rindu pada keluarga dan rindu pada denyut nadi ahli UMNO seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di Klebang di sini malam tadi.

Nooryana Najwa menjadi tetamu kehormat pada persidangan yang dihadiri kira-kira 400 perwakilan dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Dalam pada itu, Nooryana Najwa menambah, sewaktu berkunjung ke Penjara Kajang, Selangor Khamis lalu, ayahnya sempat berbisik meminta menyampaikan amanat kepada seluruh ahli UMNO seluruh negara.

“Ayah yakin hanya UMNO dan BN yang mampu memberikan dan mengekalkan kestabilan dan turut meminta semua ahli kekal bersatu dan bersama hingga ke garisan penamat, kerana kejayaan PRU15 boleh jadi milik kita,” jelasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN