Tindakan pecat keputusan peribadi Presiden - Zaharin - Utusan Malaysia

Tindakan pecat keputusan peribadi Presiden – Zaharin

ZAHARIN MOHD. YASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Zaharin Mohd. Yasin menyifatkan pemecatannya sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta sebagai keputusan peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga bekas Ketua Cawangan UMNO Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan berkata, ini kerana beliau tidak menerima sebarang tunjuk sebab dan juga tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti.

Malah katanya, UMNO Bahagian Bandar Tun Razak juga tidak pernah membuat keputusan dan cadangan aduan rasmi ke pejabat Setiausaha Agung untuk beliau diambil tindakan disiplin.

“Keputusan ini lebih merupakan keputusan tindakan peribadi Presiden dan konco-konco serta dikira sebagai keputusan ‘mi segera’.

“Apakah tujuan? Hendak menutup mulut dan mematikan tangan saya daripada menulis kemungkaran politik oleh Presiden? Jawabnya tidak.

“Mulut dan tangan saya tidak akan terhenti kerana tersingkir sebagai ahli UMNO. Malah menaikkan semangat saya terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak Barisan Nasional atau UMNO di bawah kepimpinan Presiden (ketika ini),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju memecat Zaharin yang juga blogger dan aktivis daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Zaharin sebelum ini lantang mengkritik beberapa pimpinan parti termasuk Presiden UMNO melalui media sosialnya secara terbuka.

Jelas Zaharin, beliau juga tidak akan merayu pada keputusan kali ketiga ini seperti mana dua pemecatannya sebelum ini.

Sebaliknya beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada ahli MT UMNO kerana menyingkirkan beliau sebagai ahli parti itu kerana memberikannya kebebasan menulis dan memberi pendapat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya