MELAKA: Kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang penganjuran program Maulidur Rasul membabitkan kehadiran seorang lelaki yang mendakwa dirinya keturunan Nabi Muhammad ke-38, tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Beliau berkata, pihak berkuasa agama negeri setakat ini tidak menerima maklumat berhubung penganjuran majlis tersebut yang didakwa dijadualkan berlangsung di Melaka, malam tadi.
“Saya tak terima maklumat itu, belum sampai kepada saya lagi.
“Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md. Rawi Mahmud, perkara itu mestilah dibawa ke Pejabat Mufti dahulu untuk melihat (dinilai),” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan cenderahati kepada bayi Qurratu A’yun di Hospital Melaka di sini hari ini.
Terdahulu, tular jadual perjalanan program individu terlibat yang didakwa berlangsung di Melaka pada 8 Oktober 2022 sempena sambutan Maulidur Rasul.
Akhbar melaporkan, pihak berkuasa agama di empat negeri termasuk Selangor, Kedah, Terengganu dan Kelantan mengambil keputusan membatalkan penganjuran program yang didakwa dihadiri individu berkenaan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed meminta agar masyarakat menyelidik terlebih dahulu setiap berita berkaitan keturunan Rasulullah yang perlu diperoleh daripada sumber tepat, sahih dan boleh dipercayai. \
Di Melaka difahamkan, setakat ini tiada pihak yang tampil membuat permohonan bagi penganjuran ceramah tersebut kepada Jabatan Mufti. – UTUSAN










