Tiada lagi calon ‘besar kepala’ dari UMNO

Tiada lagi calon ‘besar kepala’ dari UMNO

zahid hamidi
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak meletakkan calon yang ‘besar kepala’ padan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya meneliti nama-nama calon supaya mereka yang diletakkan adalah berwibawa dan mempunyai semangat mendalam terhadap parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak akan lagi membuat kesilapan memilih calon yang nanti lupa dan menggadaikan parti demi menyelamatkan diri sendiri.

Kata beliau, UMNO hanya memilih calon yang benar-benar meletakkan perjuangan parti di hadapan dan tidak mementingkan perjuangan individu, seperti keadaan sebelum ini yang mana banyak pemimpin parti tersebut menjadi pengkhianat dengan melompat parti.

“UMNO mahu yang dipilih menjadi calon benar-benar meletakkan perjuangan parti dan Barisan Nasional (BN) di hadapan, bukannya perjuangan individu melebihi parti. Mana-mana berkepala besar serta berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya.

“Ada yang ketika pembubaran Parlimen baru sedar bahawa dirinya sebenarnya milik parti, segala yang dinikmati termasuk jawatan pernah dipegang sebab atas dasarnya dirinya adalah ahli UMNO, bukannya ahli atau mewakili suara Bersatu atau Pas mahu pun parti lain di luar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, UMNO memerlukan wakil rakyat yang dicalonkan nanti mempunyai jati diri parti  teguh dan tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang menunggu masa untuk memperguna pemimpin daripada parti tersebut.

“Sudah tibanya UMNO yang mahu kestabilan dalaman UMNO dan memastikan tidak muncul suara-suara sumbang daripada UMNO yang mengkritik parti sendiri selepas pilihan raya umum nanti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk  berkata, pemilihan calon untuk PRU-15 lebih mencabar untuk UMNO kerana ia perkara mustahak bagi memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’.

“Tugas ini amat mencabar bagi Top Five, namun bagi kestabilan politik masa depan, keharmonian parti, disiplin parti agar pisang tidak berbuah dua kali maka kali ini UMNO amat serius bagi memastikan calon terbaik tersebut mempunyai jiwa dan roh UMNO yang luhur.

“Insya-Allah, Top Five UMNO pastikan calon dipilih nanti adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak berkepala besar, berani mempertahan UMNO daripada diperlekeh, tidak bersuara sumbang terhadap kepemimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi yang kuat tanpa mengira tempat bertanding,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN