Terserah kepada parti tentukan - Nizar Najib

Terserah kepada parti tentukan – Nizar Najib

Mohd. Nizar Najib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Mohd. Nizar Najib yang disebut-sebut bakal menggantikan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan menyerahkan kepada kepimpinan UMNO untuk menentukan kedudukannya sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Nizar berkata, beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan dipertimbangkan untuk bertanding di Parlimen Pekan atau salah satu daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun katanya, sebagai ahli parti yang setia beliau menyerahkan kepada kepemimpinan parti dan bersedia jika dicalonkan.

Katanya, beliau mahu kedudukannya sebagai calon PRU15 dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan sebagai ahli UMNO, bukannya legasi keluarga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mahupun Najib.

Beliau berkata, pengaruh keluarga tidak menjamin kedudukannya sebagai calon pilihan raya sebaliknya perkara itu dinilai berdasarkan prestasi dan perkhidmatan.

“Ramai cakap saya daripada keluarga politik tetapi ia tak semestinya menjamin kejayaan dalam bidang tersebut. Akhirnya orang menilai kita berdasarkan prestasi dan perkhidmatan. Yang penting bukan ahli keluarga, tetapi penerimaan orang ramai terhadap seseorang wakil rakyat.

“Malah kepemimpinan parti selalu tekankan konsep WALI iaitu seseorang calon dikira mempunyai potensi untuk menang dan disukai rakyat, itu kriteria ditekan oleh parti. Sekalipun dipilih, kita kena tunjukkan prestasi agar diterima warga pengundi, bukannya menumpang pengaruh legasi Tun Razak,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Nizar dan adiknya, Nooryana Najwa tidak dicalonkan bagi menggantikan Najib di kerusi Parlimen Pekan pada PRU-15.

Sebaliknya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, terdapat lima nama daripada UMNO Bahagian Pekan termasuk Najib dikemukakan untuk kerusi tersebut.

Mengulas perkara itu, Mohd. Nizar berkata, setiap pihak boleh mengeluarkan kenyataan masing-masing sebaliknya yang menentukan adalah kepimpinan UMNO Pusat setelah melihat senarai nama dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian.

Dalam pada itu, beliau berkata, bukan tugas mudah mempertahan Parlimen Pekan dan empat kerusi DUN iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini yang masih dikuasai BN walaupun berdepan tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, kerusi-kerusi itu berisiko tewas di tangan lawan sekiranya BN gagal memahami sentimen dan denyut nadi rakyat.

“Secara tradisi memang benar kubu kuat UMNO, tetapi tidak bermakna kita boleh duduk selesa tanpa persiapan. Parlimen Pekan pernah dua DUN tewas pada 1999 iaitu ketika gelombang reformasi, malah ayahanda saya, Datuk Seri Najib menang tipis 241 undi,” katanya.

Justeru katanya, BN dan UMNO sendiri perlu memikat pengundi muda yang diketahui sukar menyertai mana-mana parti politik dan terdedah kepada maklumat media sosial di samping golongan itu pernah tertarik dengan janji-janji manis Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum lalu.

“Setelah pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan penurunan had umur 18 tahun, Pekan menyaksikan pertambahan jumlah pemilih sehingga 119,000 orang termasuk 7,000 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun berbanding 89,000 pengundi ketika PRU14.

“Bagaimana usaha kita menarik mereka? UMNO dan BN perlu bijak menggunakan medium tertentu seperti Tik Tok dan Twitter untuk menarik perhatian golongan agar menyokong kita. Selain itu, BN perlu memberikan tawaran yang memenuhi kehendak orang muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya