Terkejut lihat 30 ekor gajah lintas jalan di Kemaman

[VIDEO] Terkejut lihat 30 ekor gajah lintas jalan di Kemaman

SEKUMPULAN gajah liar melintas jalan di di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II, Kemaman, Terengganu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II, dekat sini terkejut apabila sekumpulan lebih 30 gajah liar melintas di jalan tersebut, hari ini.

Video berdurasi 25 saat dirakam seorang pemandu FGV Plantations (Malaysia) Sdn. Bhd., Nik Mohd. Hafizul Nik Zulkifli, 26, yang kebetulan melalui jalan itu selepas selesai menghantar pekerja ladang kira-kira pukul 8.30 pagi. 

Nik Mohd. Hafizul yang tinggal di Felda Neram II, berkata, dia yang sedang memandu menuruni kawasan bukit memperlahan kenderaannya selepas melihat kumpulan gajah liar tersebut. 

“Pada awalnya saya sangkakan hanya sekitar 10 ekor gajah yang melintas. Tetapi semakin lama, jumlahnya semakin banyak. Saya anggarkan lebih 30 ekor gajah yang melintas. 

“Sepanjang setahun lebih tinggal di sini, ini kali pertama saya terjumpa gajah depan mata. Sebelum ini hanya terjumpa najis gajah di kawasan ladang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Video oleh Nik Mohd. Hafizul Nik Zulkifli

Katanya, penduduk di kawasan tersebut terutama peneroka sentiasa berhati-hati berikutan kawasan ladang di kawasan Hulu Kemaman sering dilalui gajah.

Dia berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. 

“Apa yang bimbang kalau berlaku waktu malam sebab kawasan ini gelap dan merupakan laluan peneroka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. 

Menurutnya, pihaknya juga ada menerima aduan kerosakan daripada pihak ladang, namun maklumat lanjut belum diterima dan masih dalam siasatan. 

“Perhilitan sedia maklum terdapat gajah di kawasan tersebut dan gajah itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Cherul, Kemaman,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya