Telur kurang sebab laris, tiada kenaikan harga 

Telur kurang sebab laris, tiada kenaikan harga 

A. MOGAN pada majlis Pelancaran Harga Maksimum Barangan Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali, di sebuah pasar raya di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menafikan berlakunya kenaikan harga untuk barang kawalan seperti telur ayam ketika ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, A. Mogan berkata, harga telur ayam masih kekal sama termasuk di kawasan kampung meskipun bekalannya diakui sedikit berkurangan.

“Saya tak dapat nafi ada masalah kekurangan telur ayam, tapi ia sebenarnya dikategorikan sebagai barangan (kawalan) yang laris.

“Letak pagi (di kedai atau pasar raya), petang habis. Mungkin nak isi balik, ambil masa. Tapi, bekalan memang ada,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Harga Maksimum Barangan Terkawal Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali, di sini hari ini.

Di bawah skim itu, harga runcit yang ditetapkan bagi telur ayam gred A ialah RM0.45 sen sebiji manakala gred B dan C masing-masing berharga RM0.43 serta RM0.41 sebiji.

Selain telur ayam gred A, B dan C, turut tersenarai dalam skim penetapan harga maksimum ialah 11 barangan kawalan yang lain termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, kacang dhal (Australia) serta bawang merah kecil (India) dan bawang merah besar import.

Jelas Mogan, seramai 122 pegawai penguat kuasa serta 66 pegawai pemantau harga akan ditugaskan berada di lokasi-lokasi tumpuan termasuk pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan pusat beli belah bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap harga serta bekalan barang kawalan tersebut.

Dalam pada itu katanya, sepanjang tahun ini sehingga semalam, sebanyak 1,242 aduan telah diterima oleh PPDNHEP negeri berhubung isu harga serta bekalan barangan.

Katanya, daripada jumlah itu, 372 aduan adalah berkaitan harga barangan dan perkhidmatan, 51 berhubung bekalan barang kawalan dan selebihnya melibatkan lain-lain aduan.

“Sepanjang tempoh yang sama juga (1 Januari hingga semalam), sebanyak 49,437 premis berkaitan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 689 kes telah diambil tindakan.

“Jumlah sitaan pula mencecah RM1,893,195.45 manakala nilai kompaun sepanjang tempoh itu adalah sebanyak RM195,300,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN