Tasik Biru Ibam makin cetek

Tasik Biru Ibam makin cetek

KEADAAN Tasik Biru di Bukit Ibam, Rompin, Pahang yang semakin cetek ekoran kegiatan perlombongan bijih besi bersebelahan lokasi tersebut. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Keindahan Tasik Biru di Bukit Ibam di sini yang tular dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara ‘dinodai’ apabila airnya mula keruh dan semakin cetek.

Sejak kewujudannya bermula 1973, tasik itu mula mendapat perhatian ramai dan ketika ini dianggarkan tidak kurang 80 orang berkunjung ke Tasik Biru pada setiap hari sekali gus menjadi lokasi tumpuan pelancongan baharu di negeri dan negara ini.

Namun kini, penduduk di Bukit Ibam bimbang keindahan panorama di Tasik Biru menjadi ‘suram’ dan terhakis ekoran kegiatan perlombongan bijih besi yang wujud bersebelahan tasik tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Bukit Ibam Md. Zamri Budin, 62, berkata, kegiatan perlombongan bijih besi bersebelahan Tasik Biru menyebabkan keindahannya makin hilang seri.

Beliau berkata, air di tasik tersebut bukan sahaja keruh malah semakin cetek kerana ia digunakan untuk aktiviti perlombongan di situ.

“Bagi saya, Tasik Biru sekarang sudah kurang menarik disebabkan aktiviti perlombongan di situ.

“Bukan kita halang perlombongan, tapi aktiviti di situ menggunakan air tasik serta mencacatkan pemandangan. Cadangan kita, seeloknya kawasan perlombongan itu dialihkan,” katanya di sini semalam.

Tasik Biru Bukit Ibam ini asalnya tempat aktiviti perlombongan bijih besi bermula sejak 1957, oleh syarikat Rompin Mining Company (RompinCo).

Secara ringkasnya, disebabkan aktiviti perlombongan dan kuari ini menyebabkan wujudnya banyak lubang-lubang besar hasil dari peletupan bukit bagi mengeluarkan sumber mineral yang ada.

Lubang-lubang tersebut kemudian menjadi kawasan takungan air yang akhirnya membentuk sebuah tasik.

Md. Zamri berkata, bermula awal 1980-an, kawasan tasik yang ketika itu masih lagi hutan dikunjungi 30 ke 40 orang sehari.

“Orang ramai hadir waktu itu kerana mahu melihat airnya yang biru. Selepas itu ia terus menjadi kawasan tumpuan pelancong sehinggalah struktur dan fasiliti di situ dipertingkat bermula tahun lalu.

“Sejak itu, paling sikit setiap hari hasil bancian kita, tidak kurang 80 pelancong hadir ke tasik ini. Tujuan utama untuk merasai rasa tenang dan keindahannya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keindahan Tasik Biru tidak seharusnya ‘dinodai’ sebaliknya dikekalkan supaya terus menjadi lokasi tumpuan pelancong sekali gus mempromosikan Bukit Ibam.

“Di Bukit Ibam ini kita ada tasik, ada air jeram dan Bukit Sembilan yang seolah-olah duduk di atas awan apabila berada di situ,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Sherry berkata, kali pertama dia mengunjungi Tasik Biru pada 2018.

Dia yang merupakan masyarakat Orang Asli Bukit Rok, Bera berkata, mengetahui kewujudan tasik itu daripada rakannya, dia teruja melihat keindahannya.

“Kali pertama sampai di Tasik Biru memang saya cukup teruja melihat airnya yang biru. Waktu itu, kawasan sekitar tasik ini pun masih lagi dilitupi hutan tidak seperti sekarang.

“Apabila kali ketiga saya sampai ke sini, kawasannya telah berubah, hutan makin kurang dan air pula telah keruh ekoran kegiatan perlombongan.

“Sayanglah jika lokasi ini tercemar. Bagi saya tidak sepatutnya kawasan ini ada aktiviti perlombongan. Ia mencacatkan pemandangan dan keindahan tasik ini,” katanya.

Dia berharap pihak berwajib mengalihkan lombong bijih besi bersebelahan Tasik Biru bagi memastikan lokasi tumpuan pelancong itu terus terpulihara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN