Syarikat perniagaan diingatkan tunai zakat kepada Maidam

Syarikat perniagaan diingatkan tunai zakat kepada Maidam

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (barisan depan, tengah) menerima replika cek bayaran zakat daripada wakil Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan syarikat perniagaan dan korporat di Terengganu tidak membayar zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, sebaliknya menyalurkan bantuan itu kepada golongan memerlukan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Yang Dipertua Maidam Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, zakat perniagaan sepatutnya diserahkan kepada institusi khusus yang menjaga hal ehwal zakat supaya ia dapat disalurkan kepada penerima dari golongan asnaf yang berhak sahaja.

“Saya lihat kebanyakan ahli perniagaan ini, tidak keluarkan zakat (kepada MAIDAM),  mungkin mereka keluarkan sendiri zakat ini kepada mana-mana kampung atau kawasan luar bandar.

“Namun, pada kita kalau ikut fatwa Mufti Negeri Terengganu, kalau tak bayar kepada amil, tak panggil statusnya sebagai duit zakat kerana zakat perlu diuruskan oleh institusi yang ada pentadbirannya agar agihan diberi kepada golongan asnaf yang layak menerimanya.

“Sepatutnya syarikat korporat bayar dahulu zakat perniagaan kepada MAIDAM dan kemudiannya boleh mengambil 25 peratus daripada jumlah itu untuk disalurkan sendiri kepada golongan yang memerlukan.

“Oleh itu, Maidam akan terus mendekati syarikat perniagaan dan korporat di Terengganu untuk membimbing dan memberi dakwah kepada mereka mengenai kaedah terbaik menyalurkan zakat perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima penyerahan wang zakat perniagaan dari Duyong Marina & Resort berjumlah RM42,159.65 kepada MAIDAM di sini hari ini.

Setakat ini, beliau berkata syarikat kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd. adalah pembayar zakat perniagaan yang tertinggi di Terengganu setakat ini iaitu RM10.9 juta.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, zakat perniagaan adalah ibadah harta yang perlu ditunaikan ahli perniagaan Islam kerana ia adalah wajib dan mempunyai banyak manfaat dalam ekonomi umat Islam di negara ini.

“Maidam sendiri sangat menggalakkan penerima zakat menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan memberi bantuan peralatan seperti mesin pemotong rumput dan gerai jualan makanan.

“Kita bantu penerima zakat ini keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya mereka pula boleh bangkit untuk mengeluarkan zakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maidam menerima RM157 juta bayaran zakat di seluruh Terengganu setakat ini dengan bayaran tertinggi ialah dari kategori zakat pendapatan iaitu RM75 juta diikuti zakat perniagaan (RM35 juta).

“Kita sasar kutipan zakat tahun ini ialah RM240 juta sebelum 31 Disember ini dan yakin jumlah itu akan tercapai dalam tempoh dua bulan lagi kerana kebiasaannya, akan ramai yang tampil membayar zakat dalam tempoh-tempoh terakhir,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN