Sultan Kedah arah kerajaan negeri bantu naik taraf UniSHAMS

Sultan Kedah arah kerajaan negeri bantu naik taraf UniSHAMS

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-24 di kampus Kuala Ketil, Baling, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan negeri membantu menaik taraf kemudahan-kemudahan rekreasi dan ibadah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Titah baginda, kompleks kampus UniSHAMS yang tersergam indah dan menawan tiada ertinya jika bangunan-bangunan yang indah itu tidak diseimbangkan dengan kesejahteraan kehidupan warganya.

“Mutu kesejahteraan warga sesuatu organisasi itu sangat dipengaruhi oleh keselesaan persekitarannya, beta yakin kualiti hasil kerja dan pembelajaran di UniSHAMS akan bertambah baik jika kita memberi perhatian terhadap kualiti persekitarannya.

“Kemudahan-kemudahan rekreasi, riadah dan keselesaan ibadah kepada warga universiti harus dipertingkat kerana ketenangan dan kedamaian jiwa dapat menyumbang kepada penyuburan produktiviti diri.

“Bagi merealisasikan hasrat itu persekitaran UniSHAMS yang sejahtera perlu diwujudkan dan beta berharap kerajaan negeri dapat membantu menaiktaraf kemudaan rekreasi dan ibadah di UniSHAMS,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-24 yang turut dihadiri Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Baginda bertitah, pada usia penubuhan UniSHAMS yang telah mencapai dua dekad dan dengan moto ‘Kelestarian Ilmu Melalui Kebijaksanaan’, universiti itu akan terus melahirkan modal insan yang memberi manfaat terhadap maslahat ummah.

“Graduan telah dibentuk ke arah mencapai matlamat untuk menjadi daei holistik sebagai teladan kepada semua, kader imam yang mengetuai setiap aktiviti masyarakat serta barisan pemikir dan sarjana yang memimpin pemikiran lapisan masyarakat dan akhirnya melahirkan profesional berakhlak mulia yang berdiri teguh membangun ummah.

“Beta berasa bangga kerana UniSHAMS telah melahirkan graduan berdaya saing yang tinggi dan ditunjangi dengan tekad, iltizam serta jati diri yang teguh.

“Beta berharap, seluruh warga UniSHAMS akan meneruskan kecemerlangan dalam segala perkara bagi membawa universiti yang kita sayangi ini ke tahap yang lebih cemerlang dan terbilang,” titah baginda.

Pada istiadat sama, baginda turut berkenan menamakan Bangunan Canselori UniSHAMS sebagai Canselori Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai penghargaan di atas jasa bekas Menteri Besar Kedah itu terhadap pembangunan kampus UniSHAMS.

Sementara itu, seramai 1,382 orang graduan menerima ijazah masing-masing meliputi peringkat pengajian doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma pasca siswazah, diploma dan program Asasi pada konvokesyen selama tiga hari bermula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN