Speaker tolak usul Anwar bahas isu krisis ekonomi 

[Parlimen] Speaker tolak usul Anwar bahas isu krisis ekonomi 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi mengadakan perbahasan tergempar mengenai krisis ekonomi kerana sesi semasa persidangan akan tertumpu kepada Bajet 2023. 

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata demikian sekali gus menolak usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ahli parlimen membahaskan isu itu hari ini dan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab masalah yang dibangkitkan.

“Saya maklum menerima surat anda kepada perdana menteri mengenai usul yang dikemukakan. Saya juga menerima salinan usul anda untuk membahaskan perkara berikut, mengenai ekonomi, melibatkan krisis kenaikan harga dan kejatuhan ringgit yang menjejaskan rakyat. 

“Saya dapati tidak perlu menyegerakan usul atas sebab-sebab seperti yang dinyatakan dalam surat saya kepada tuan hari ini antara lain kerana isu itu sudah lapan kali dibahaskan di Dewan ini termasuk melalui usul tergempar.

“Malah hari ini sendiri ada dua perkara berkaitan dibangkitkan dan telah dijawab dengan panjang lebar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. 

Azhar turut berkata yang beliau yakin perkara berkaitan usul berkenaan akan dijawab dalam masa 23 hari membahaskan Bajet 2023.

“Oleh itu saya terpaksa menolak usul itu,” jelasnya. 

Anwar bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan menjelaskan perbahasan Bajet 2023 akan lebih tertumpu kepada perbelanjaan masa depan. 

Sementara, sesi waktu soalan hanya memberi ruang kepada menteri menyampaikan ‘syarahan ekonomi’ tanpa sebarang ruang untuk perbahasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim (PH-Bukit Mertajam) turut meminta Azhar menasihatkan Perdana Menteri agar tidak membubarkan parlimen sehingga Bajet 2023 dibahas dan diluluskan.

“Saya harap kita boleh minta Perdana Menteri memberi jaminan bahawa perbahasan bajet akan diteruskan sehingga selesai semua proses dan kemudiannya diluluskan,” katanya.

Namun Azhar berkata, perkara itu adalah di luar bidang kuasanya dan keputusan tersebut terletak di tangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya