BUTTERWORTH: Polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja dengan merampas 30 kilogram (kg) ganja bernilai RM75,000 dan menahan sepasang suami isteri dalam serbuan di Bukit Mertajam, dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki tempatan dan wanita warga asing masing-masing berusia 32 tahun dan 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Malwira pada pukul 11 malam.
Katanya, tangkapan kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan sebanyak 29 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.
“Selain itu, kita menyita sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe, dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sebentuk cincin menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM103,270,” katanya dalam sidang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket terbabit bergiat aktif mengedar dadah sejak Mei tahun lepas.
Jelas beliau, saringan air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah, namun salah seorang daripadanya memiliki satu rekod kesalahan lampau.
“Kedua-duanya ditahan reman seminggu sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1951,” katanya. – UTUSAN