PRU-15: Maik larang masjid jadi tempat kempen politik

PRU-15: Maik larang masjid jadi tempat kempen politik

MOHAMAD Rizam (dua dari kanan) menyampaikan replika cek sumbangan Fidyah kepada salah seorang Imam di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, Kota Bharu, Kelantan.UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melarang segala aktiviti berkaitan kempen politik dijalankan di semua masjid di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Maik kepada imam-imam masjid agar tidak memberi kebenaran kepada sebarang kempen PRU-15 di masjid.

Menurutnya, larangan tersebut adalah untuk mengelakkan masjid daripada menjadi tempat berkempen oleh kumpulan tertentu bagi menyampaikan agenda mereka.

“Saya ingin tegaskan bahawa masjid bukan medan politik, sebaliknya ia merupakan tempat perpaduan. Oleh itu, imam juga perlu memastikan hanya penceramah memiliki tauliah mengajar agama daripada Maik dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid seperti yang termaktub di dalam Seksyen 91 Enakmen Maik.

“Selain itu, Maik hanya membenarkan imam dan khatib undangan yang dilantik sahaja  menyampaikan khutbah Jumaat. Mimbar masjid yang merupakan tempat suci dan mulia perlu dijaga daripada menjadi tempat berkempen untuk tujuan kepentingan peribadi oleh kumpulan tertentu,” katanya 

Beliau menyatakan demikian dalam dalam sidang akhbar pada Majlis Bersama Imam-Imam Negeri Kelantan Tahun 1444 Hijrah/2022 di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji di sini hari ini.

Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, masyarakat Islam perlu terus menjaga masjid yang merupakan institusi dan rumah Allah SWT daripada perkara yang boleh mencetuskan perpecahan.

Katanya, beliau berharap masyarakat Islam meraikan pilihan raya dengan menyemai sifat ikatan ukhuwah islamiyah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN