KUALA TERENGGANU: Siasatan terperinci berhubung dakwaan sekumpulan pelancong yang jatuh sakit selepas pulang bercuti di Pulau Perhentian baru-baru ini dijangka dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh sebulan lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ketika ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa agensi lain masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana hotel, resort atau chalet yang didapati bersalah membuang sisa kumbahan secara bebas di perairan pulau tersebut.
“Sebaik sahaja siasatan selesai, kita akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat. Ini bukan sahaja di Pulau Perhentian, malah jika terdapat kesalahan sama di Pulau Redang pun akan dikenakan tindakan sama.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa pelancong malah boleh memberi kesan kepada industri pelancongan Terengganu pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Seramai kira-kira 40 pelancong didakwa jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di pulau peranginan terkenal itu, baru-baru ini.
Mangsa mendakwa mereka yang terdiri 27 dewasa dan 13 kanak-kanak mengalami muntah-muntah, manakala sebahagian daripada mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sehingga dimasukkan ke hospital.
Selain itu, seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu manakala dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.
Ditanya sama ada kes tersebut berpunca dari premis penginapan yang sama berlaku pada Jun lalu melibatkan enam pelancong wanita yang turut jatuh sakit, Ariffin berkata, beliau belum dimaklumkan hasil siasatan kerana masih berjalan. – UTUSAN