Malaysia lonjak ke tangga ke-23 Indeks Daya Saing Dunia - Utusan Malaysia

Malaysia lonjak ke tangga ke-23 Indeks Daya Saing Dunia

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia melonjak dari tangga 34 ke tangga ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD) 2025 membuktikan pencapaian positif dan menunjukkan masa depan ekonomi negara yang semakin cerah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, peningkatan sebanyak 11 anak tangga itu mencerminkan kejayaan pelbagai dasar dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan secara bersepadu dalam memperkukuh ekonomi negara.

Katanya antara faktor penyumbang kenaikan ialah pelaksanaan dasar fiskal dan monetari yang berhemah, reformasi digital serta pendigitalan sistem penyampaian awam. 

“Komitmen negara mempertingkat kemudahan perniagaan dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi turut menyumbang kepada peningkatan.

“Ini jelas menunjukkan usaha ke arah tadbir urus yang cekap, peningkatan keupayaan perniagaan dan pembinaan infrastruktur kondusif untuk pelaburan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Jais menegaskan bahawa pencapaian ini perlu disusuli langkah penambahbaikan agar kemajuan tersebut terus berdaya tahan. Ini termasuk pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran awam, khususnya dalam urusan perolehan kerajaan.

Beliau turut menekankan pentingnya latihan semula tenaga kerja tempatan agar selari dengan perkembangan ekonomi digital, di samping menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan bantuan teknologi, kewangan dan akses pasaran.

“Malaysia juga perlu melaksanakan dasar pembangunan lestari yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar. Ini penting untuk meletakkan negara sebaris dengan kuasa ekonomi global dari segi daya saing jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×