Si pemakan kaca jadi badut - Utusan Malaysia

Si pemakan kaca jadi badut

MOHD. Fahmi Mohd. Nazdri memakai kostum badut melayani kanak-kanak sambil meniup belon di Dataran 1Malaysia Klebang, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki yang pernah menggemparkan Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan pada 2012 kerana memiliki tabiat pelik menjadikan serpihan kaca lampu kalimantang sebagai menu hariannya, kini menceburi dunia badut.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Fahmi Mohd. Nazdri, 30, berkata, selepas 10 tahun dia tidak lagi mengamalkan tabiat peliknya sewaktu zaman remaja.

Jelasnya, sekarang dia memilih kerjaya sebagai badut sambil menjual belon di beberapa kawasan tumpuan pelancong sepenuh masa untuk sumber pendapatan keluarga.

“Dahulu waktu usia 20 tahun saya amat dikenali di Felda Jelai kerana tabiat pelik makan kaca lampu kalimantang dan mentol tetapi sekarang tidak lagi.

“Kini saya menjadi badut sebagai kerjaya sepenuh masa dan inilah sumber pendapatan menyara isteri dan seorang anak berusia dua tahun,” katanya ketika ditemui di Dataran 1Malaysia Klebang di sini.

Mohd. Fahmi berkata, biarpun ada yang menilai dan memandang rendah kerjayanya itu, namun dia tidak ambil peduli kerana sumber rezeki yang diperoleh adalah halal.

Katanya, kerjaya yang diceburi sejak sebelum berumah tangga itu turut disokong isteri serta rakan-rakan, sehingga menjadikan dirinya lebih yakin dan optimis untuk berjaya.

Jelasnya, setiap hari dia akan pergi ke tempat tumpuan orang ramai khususnya di Klebang dan Banda Hilir untuk menghiburkan kanak-kanak dengan memakai kostum badut.

“Sehari, khususnya cuti hujung minggu bolehlah saya mendapat pendapatan antara RM80 hingga RM100 dan jika menerima tempahan untuk sambutan hari jadi atau apa sahaja keraian, saya dapat lebih sikit.

“Saya kini menetap di Bemban, Jasin memang berasa seronok dengan kerjaya menghiburkan kanak-kanak sambil meniup belon dan alatan magik yang lain.

“Setiap kanak-kanak yang inginkan belon yang digubah menjadi pelbagai objek, saya tidak kenakan sebarang bayaran tertentu tetapi terpulang kepada mereka mana termampu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya