PUTRAJAYA: Seramai enam mangsa melibatkan seorang juruterbang dan lima penumpang yang terbabit nahas helikopter di Cameron Highland, Pahang petang ini kini berada dalam keadaan stabil.
Perkara itu disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo berkata, empat daripada enam mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan lanjut.
Dalam kejadian pukul 1.03 petang ini, CAAM melaporkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 terbabit nahas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highland, Pahang.
Helikopter berkenaan dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. dan berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada pukul 12.20 petang. – UTUSAN