‘Saya tak akan maafkan dia sampai bila-bila’ - Utusan Malaysia

‘Saya tak akan maafkan dia sampai bila-bila’

SARIMAH Ahmad (kiri) bersama anak perempuannya, Nur Izzati ketika ditemui pemberita di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Isteri kepada seorang lelaki yang meninggal dunia selepas terlibat dalam pergaduhan di Kampung Parit Tok Angah, Tanjung Piandang di sini petang semalam kesal dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya.

Sarimah Ahmad, 51, yang suaminya rebah dan meninggal dunia selepas terlibat pergaduhan dengan seorang lelaki yang dikenalnya berkata, dia mahukan keadilan terhadap kematian suaminya, Mahadzeb Salleh, 47.

Menurutnya, dia tidak menyangka pergaduhan antara suaminya dengan seorang lelaki yang juga penduduk kampung itu berakhir dengan kematian.

“Saya tidak akan memaafkan lelaki tersebut sampai bila-bila dan saya mahukan keadilan. Saya berharap agar pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal terhadap suspek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau,  Datuk Abdul Yunus Jamahri di kediamannya di Parit Tok Ngah di sini hari ini.

Sarimah yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran berkata, sebaik sahaja mendapat tahu tentang mengenai kejadian yang melibatkan suaminya daripada penduduk, dia segera ke lokasi kejadian.

“Semasa saya sampai, saya melihat arwah suami terbaring tidak sedarkan diri berhampiran motosikalnya. Saya dekati suami dan mendapati beliau tidak lagi bernafas, ini membuatkan hati saya luluh,” katanya.

Sementara itu, ibu Mahadzeb, Habsah Mahad, 70, berkata, dia tidak menyangka anak kedua daripada lima beradik itu meninggal dunia selepas pergaduhan itu.

“Saya mahu keadilan jika orang itu penyebab kematiannya,” katanya.

Sementara itu, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Parit Tok Ngah Atas di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang semalam, mangsa meninggal dunia selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang leĺaki yang dikenalinya.

Berikutan itu, polis menahan reman suspek selama tujuh hari mulai hari ini hingga 31 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya