TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja nama penyanyi, pengacara dan penyampai radio, Haiza menjadi buah mulut ramai.
Semuanya gara-gara dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia sudah tidak menyanyi lagi. Dengan komitmen yang tinggi sebagai penyampai radio, Haiza kononnya sudah mula memperlahan kerjaya nyanyian.
Hakikatnya, dia rancak berkongsi perkembangan kerjayanya di media sosial.
Jawablah! mendapatkan penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug ini.
Benarkah dakwaan tersebut? Atau ia hanya propaganda yang sengaja dicetuskan oleh pihak yang cemburu dengan kejayaannya? Haiza, jawablah!
BAGAIMANA perkembangan kerjaya seni Haiza? Selesa dengan keadaan sekarang atau ada impian untuk mencuba sesuatu yang berbeza?
Kalau hendak cakap soal kerjaya seni, berjalan seperti biasa. Sekarang, saya mengendalikan program radio baharu iaitu Bicara Petang. Seronok sebenarnya dapat kendalikan drive show. Dapat temankan pendengar yang memandu balik dari tempat kerja. Selesa? Kita manusia, mana ada rasa puas. Tetapi, kita kena bersyukur dan tambah baik diri kita. Saya terbuka dengan kritikan membina. Tidak kisah dalam bidang apa sekalipun, kena sentiasa perbaiki diri. Kerjaya sebagai penyampai radio menuntut komitmen tinggi.
Ada yang cakap, Haiza sudah memperlahankan kerjaya nyanyian. Betul ke? Malah, ada pihak menyebarkan dakwaan, kononnya Haiza sudah tidak menyanyi lagi.
Komitmen tinggi itu betul. Saya bekerja ada shift, masa yang ditetapkan. Susah untuk bergerak tetapi saya kena pandai susun waktu. Siapa cakap saya memperlahankan kerjaya nyanyian? Sebetulnya, saya tidak pernah memperlahankan kerjaya nyanyian. Saya masih aktif menerima undangan persembahan. Mungkin mereka tidak mengikuti media sosial saya, jadi tidak tahu apa aktiviti saya. Saya masih menyanyi dan mengacara, tidak ada noktah.
Komen Haiza apabila ada pihak yang seakan-akan dengki dan tidak senang duduk hingga cuba menabur pasir dalam periuk nasi Haiza?
Saya bukan sesiapa. Rugi kalau ada yang dengki. Haiza nama kecil sahaja. Mungkin pada mata kasar nampak selesa, tetapi saya sama seperti artis lain tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk kekal dalam radar seni. Bermula usia 15 tahun, saya sudah bekerja. Habis sekolah, kerja. Penat, jangan cakaplah. Turun naik karier, hanya saya yang tahu pahit manisnya. Tetapi, saya percaya rezeki Tuhan yang beri. Tidak pernah bersangka buruk atau jahat dekat orang lain.
Apa nasihat Haiza kepada si polan itu?
Saya tidak tahu siapa awak. Tetapi, kalau betul dakwaan tersebut, awak betul-betul rugi. Saya cuma ikan bilis yang mencari rezeki dalam lautan luas. Lautan yang turut menjadi punca rezeki orang lain. Saya tidak pernah fikir pasal orang lain. Selalu nasihat diri untuk tidak bersangka buruk dengan orang lain. Fokus apa kita buat. Kalau kita betul-betul niat baik cari rezeki, kita tidak sempat kir pasal orang lain.
Ada perancangan untuk single baharu? Perlu atau tidak sebenarnya kerana setiap kali show, lagu malar segar juga jadi permintaan?
Lagu baharu penting untuk kekal relevan. Single baharu sudah ada. Cuma, menanti waktu yang sesuai untuk dilancarkan. Tetapi, saya juga ada satu projek istimewa iaitu merakamkan semula Dag Dig Dug. Muzik yang lebih segar. Nantikan!










