Rakyat perlu bijak nilai Bajet 2023 dan manifesto parti politik - PM - Utusan Malaysia

Rakyat perlu bijak nilai Bajet 2023 dan manifesto parti politik – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan agar rakyat bijak menilai janji-janji manifesto yang akan dikeluarkan parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 adalah janji yang dijamin boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan pimpinannya dipilih semula untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU15 namun, manifesto parti politik adalah janji semata-mata.

“Bajet 2023 perlu dibentang semula dan diluluskan di Parlimen. Saya bertanggungjawab bincang dengan Kementerian Kewangan untuk buat perancangan dan jika diberikan peluang semula mengetuai kerajaan selepas PRU15 kita akan bentang semula.

“Ini untuk kepentingan rakyat, kalau orang lain (menang PRU15) kami tidak jamin Bajet untuk rakyat dapat dilaksanakan. Selepas ini banyak parti akan keluarkan manifesto tertentu. Janji-janji yang berbeza, bezanya itu adalah manifesto.

“Sebelum ini, banyak janji (manifesto) tidak dapat dilaksanakan. Ia berbeza dengan Bajet 2023, perancanganya telah mengambil kira kewangan negara. Maknanya sudah ada dana tersedia, duit sudah ada. Jika lulus akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka hari ini yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Ismail Sabri berharap Bajet 2023, khususnya yang memanfaatkan golongan penjaja dan peniaga kecil dapat dilaksanakan selepas PRU15 nanti sekiranya mendapat semula mandat daripada rakyat.

“Masyarakat penjaja, peniaga dan usahawan kecil amat dekat di hati saya. Sehubungan itu, pada hari ini, sukacita saya bersetuju untuk menjadi penaung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia.

“Saya juga pernah menjadi penjaja satu masa dulu. Jual limau, ikan di Pasar Sehari Temerloh, jadi apa yang penjaja bangkitkan, saya faham kerana saya pernah hidup bersama penjaja. Saya dah lalui semuanya dulu dan disebabkan itu setiap permohonan penjaja saya akan perhalusi dan luluskan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yakin warga penjaja, peniaga dan usahawan kecil akan menggunakan hak untuk menyokong kerajaan Keluarga Malaysia yang sentiasa mendengar keluh-kesah mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya