Rafizi akan dedah individu dapat laba besar perolehan SPH

Rafizi akan dedah individu dapat laba besar perolehan SPH

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mendedahkan individu yang didakwa mendapat laba besar untuk perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) bagi kegunaan Tentera Darat.

Menurut beliau, tender membeli meriam artileri Howitzer itu telah diarahkan diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat setahun jagung yang tiada pengalaman.

“Jumlah kontrak RM854 juta, syarikat anak-anak muda ni kabel kuat. Hari ini, saya akan dedahkan salah satu kabel itu. Siapa orang politik yang bakal mendapat laba,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

SPH ialah meriam artileri yang digunakan Tentera Darat dan diukur antaranya daripada segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi serta pengangkutan.

Semalam, Rafizi mendakwa syarikat itu hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan di samping tidak punyai rekod dalam industri pertahanan dan pembekalan persenjataan.

Menurutnya, beliau telah mengkaji kontroversi perolehan itu sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti-bukti bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan spesifikasi dan keperluan angkatan tentera.

“Kementerian Pertahanan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan agar perolehan sistem meriam artileri SPH yang baharu melalui proses tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan amnya.

“Memang menjadi amalan perolehan pertahanan negara bahawa pendekatan tender terhad digunakan untuk mengimbangi keperluan kerahsiaan pertahanan negara (supaya spesifikasi persenjataan tidak diketahui umum) dan mendapatkan nilai terbaik wang rakyat (agar pembida terbaik dilantik).

“Walau bagaimanapun, permohonan melaksanakan tender terhad oleh Kementerian Pertahanan ini ditolak oleh Kementerian Kewangan, seperti yang dimaklumkan oleh wakil Bahagian Perolehan Kerajaan bagi pihak Kementerian Kewangan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan,” kata Rafizi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN