PUTRAJAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Perkara itu diumumkan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini malam ini.
“Saya umumkan awal-awal lagi dan selepas ini kita nak minta dia buat kerja. Malam ini sahih bukan uar-uar atau khabar-khabar tapi sahih diumumkan Pengerusi PN.
“Saya tak tahu siapa nak lawan, lawanlah. Tapi saya nak beri nasihat sikit kepada kawan saya Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor). Ku Nan telah buat sesuatu di Putrajaya, tetapi cukuplah Ku Nan.
“Sekarang tiba masa untuk kita ubah dan perubahan itu akan dilakukan oleh PN di bawah Radzi,” katanya.
Pada PRU-14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun tewas kepada Tan Sri Annuar Musa sebelum dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.
Tengku Adnan pula mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan PKR Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan slogan PN untuk PRU15 iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil dengan laungan PN Best!
“Ini tagline yang kita akan laungkan pada PRU15 dan PN Best adalah harapan kita,” katanya. – UTUSAN