PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini pukul 1.35 petang ini bagi menyampaikan perutusan khas dipercayai mempunyai kaitan dengan pembubaran Parlimen.
Ismail Sabri dijangka menyampaikan perutusan khas pukul 3 petang ini yang disiarkan secara langsung menerusi media elektronik dan Facebook.
Ketika ditanya wartawan apakah Parlimen akan dibubarkan, Ismail Sabri ringkas menjawab: “Pukul 3, saya umum.”
Terdahulu, beberapa petugas media mula berkampung di Pejabat Perdana Menteri seawal pukul 8 pagi ini bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai spekulasi berkenaan.
Desas-desus pembubaran Parlimen kembali bertiup kencang apabila ada dakwaan mengatakan Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang semalam.
Sebelum ini, Ismail Sabri juga telah bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sebelum pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat Jumaat lalu.
Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas hingga 16 Oktober ini. – UTUSAN