PRU15: STAR mahu tanding lima kerusi

PRU-15: STAR mahu tanding lima kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan hasrat ingin bertanding di lima kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung STAR, Rizal Johari berkata, sebagai salah sebuah parti tempatan yang berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mereka berharap diberikan lima kerusi untuk ditandingi.

“Saya percaya agihan sebegitu adil kerana kami merupakan parti tempatan yang akan mewakili suara anak tempatan daripada pedalaman Sabah di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada PRU14, STAR hanya berjaya meraih satu kerusi iaitu bagi Parlimen Keningau yang kini disandang oleh Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan STAR untuk bertembung dengan Barisan Nasional sekiranya parti komponennya, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masih bertegas mahukan Barisan Nasional bergerak solo pada PRU15.

Menurut beliau, terserah kepada Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan sama ada ingin bekerjasama dengan GRS mahupun bergerak solo.

“Sekiranya Barisan Nasional bergerak solo, kami tidak akan rugi apa-apa. Kami akan hormat apa juga keputusan mereka.

“Sebagai parti tempatan dalam GRS, STAR akan terus berjuang bagi menyokong mana-mana blok yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya kali ini.

“Namun, ia bukan bermakna GRS akan tunduk kepada sesiapa. STAR di bawah pimpinan, Jeffrey Kitingan sentiasa konsisten dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, mana-mana parti boleh mendakwa mereka parti tempatan yang kononnya berjuang mempertahankan hak Sabah. Namun, jika dilihat trek rekod tiada apa yang boleh dibanggakan.

Jelas Rizal, walaupun Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan tidak akan ada pertembungan dengan GRS kerana agihan kerusi akan dibuat secara sama rata iaitu 50-50.

Namun, kenyataan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup bertentangan dengan kemahuan BN Sabah.

Sebelum ini, Joseph Kurup mahukan BN bergerak solo di Sabah setelah mengambi kira pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan kerjasama Barisan Nasional-GRS hanya akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya