JOHOR BAHRU: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad percaya pencabar utama Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, ini kerana selain Barisan Nasional, PH turut mempunyai sokongan akar umbi yang kuat berbanding gabungan dan parti-parti lain.
Sehubungan itu, katanya, BN perlu membuat transformasi dengan meletakkan lebih ramai calon muka baharu untuk menarik sokongan pengundi.
“Pencabar terdekat Barisan Nasional masih lagi PH. Hal ini kerana melihat kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu yang mana mereka turut menerima sokongan pengundi.
“Namun saya yakin, BN mampu melakar kemenangan berdasarkan sentimen politik semasa yang dilihat lebih baik berbandingkan sebelum PRU14 pada 2018,” katanya ketika menghadiri Persidangan Sayap Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini malam tadi. Turut hadir, Pengerusi Pemuda BN Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.
Sementara itu, Shahrir yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, beliau telah membuat keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam PRU akan datang kerana mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.
“Saya sudah buat keputusan untuk tidak lagi menjadi calon, sudah tiba masanya untuk calon baharu diletakkan untuk bertanding di Parlimen Johor Bahru. Sejumlah enam nama diserahkan kepada kepimpinan UMNO negeri dan telah disampaikan kepada kepimpinan pusat. Daripada jumlah tersebut dua daripada berusia bawah 40 tahun,” ujarnya. – UTUSAN