GEORGE TOWN: Keputusan rasmi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan serentak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya akan diketahui esok.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada mesyuarat yang diadakan semalam telah memberi peluang dan kesempatan untuk mendengar hujah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“DAP Pulau Pinang telah cuba sedaya upaya membawa hujah terbaik kepada DAP Pusat untuk mengkaji semula keputusan supaya diadakan pilihan raya secara serentak dan kita dapat yakinkan DAP Pusat untuk bawa isu ini pada mesyuarat PH.
“Pengumuman rasmi mengenai isu ini akan diketahui esok, PH Pusat yang akan umumkannya bukan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, Majlis Presiden PH telah mendengar dan meneliti permohonan dibawa oleh pimpinan negeri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan PRU15.
Fahmi berkata, beliau menjangkakan Majlis Presiden akan membuat ketetapan tentang perkara itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam akan datang.
Menurut Kon Yeow, isu mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang itu dijalankan secara berperingkat iaitu bermula dengan perbincangan di peringkat PH negeri seterusnya di bawa ke peringkat PH Pusat.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, suara rakyat yang mahukan DUN dibubarkan serentak menjadi faktor mengapa pihaknya membawa isu itu ke peringkat PH Pusat.
“Selain itu, faktor logistik juga diambil kira kerana ia lebih mudah jika diadakan serentak,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya apakah beliau kecewa kerana masih tiada keputusan mengenai pembubaran DUN itu, Kon Yeow meminta semua pihak menunggu keputusan esok.
“Keputusan belum ada macam mana mahu kecewa, tunggu esok,” katanya. – UTUSAN