KANGAR: UMNO Perlis perlu mengekalkan calon-calon yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam pilihan raya akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim berkata, pemilihan calon yang tepat perlu dilakukan oleh pimpinan parti itu dengan mengetepikan segala masalah dan dendam bagi berdepan parti lawan.
Katanya, sejarah politik di Perlis sememangnya menunjukkan berlaku pergolakan dalam kalangan pemimpin parti itu di peringkat negeri, namun, kebiasaannya setiap pihak akan bersatu apabila menghampiri musim pilihan raya.
“Kita kena ingat kekuatan pembangkang sekarang tidak boleh diramal dan mereka dapat melakukan apa sahaja khususnya bagi membawa isu-isu semasa ke kampung di sini.
“Disebabkan itulah, UMNO perlukan calon yang boleh menang dan dikekalkan di kerusi-kerusi yang disandang mereka sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pimpinan UMNO di peringkat negeri mungkin boleh mempertimbangkan bagi meletakkan calon muda di kerusi yang tewas seperti Guar Sanji, Sanglang, Kuala Perlis dan Sena.
Ujarnya, calon yang mempunyai peluang cerah di kawasan juga perlu dikekalkan dalam menjamin kemenangan parti Melayu itu dalam PRU15.
“Calon seperti Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sewajarnya dikekalkan memandangkan mereka boleh menjamin kemenangan dan telah menjadi pemimpin lama di kawasan.
“Sekarang ini, parti kena betul-betul lihat kalau sekiranya calon itu boleh menang, apa salahnya jika dikekalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, parti pembangkang juga telah membuat persiapan rapi dalam menghadapi PRU15 khususnya dengan menyediakan analisa sikap pengundi di setiap kawasan.
Menurut Ismail, beliau secara peribadi juga masih memegang pendirian bagi mempertahankan Muafakat Nasional (MN) memandangkan gabungan itu mendapat sambutan amat baik di peringkat masyarakat khususnya akar umbi.
“Kenapa nak pecahkan semula (MN) sedangkan di peringkat masyarakat ia sangat diterima baik dan perlu dikekalkan dalam meraih sokongan rakyat,” katanya. – UTUSAN