Projek resort mewah ancam rezeki penduduk Pulau Perhentian

Projek resort mewah ancam rezeki penduduk Pulau Perhentian

NAWI Mohamad (lima dari kiri) dan Muhammad Pehimi Yusof (dua dari kiri) bersama sebahagian ahli dan penyokong Pas yang menyertai UMNO pada Ceramah Perdana BN DUN Kuala Besut ‘BN Juga Kesudahannya’ di Kampung Gong Manok, Kuala Besut, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kerajaan negeri didesak membatalkan segera projek pembinaan sebuah resort mewah oleh syarikat perhotelan antarabangsa di Pulau Perhentian dekat sini.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, pembinaan resort mewah berharga kira-kira RM500 juta itu dipercayai dibangunkan di atas tanah milik kerajaan negeri seluas 42 hektar.

Menurut beliau, projek tersebut didakwa bakal dibangunkan oleh sebuah syarikat milik seorang ahli perniagaan terkenal.

Justeru, pihaknya membuat desakan tersebut selepas penduduk tempatan membantah projek berkenaan kerana dibimbangi syarikat-syarikat besar lain juga akan menguasai sektor pelanco­ngan di pulau itu selepas ini.

“Penduduk di pulau itu bimbang kehilangan mata pencari­an apabila perkhidmatan dan perniagaan diusahakan sebelum ini seperti menyediakan kemudahan penginapan, bot dan teksi air akan terjejas kerana turut ditawarkan syarikat-syarikat besar.

“Mereka tidak mahu nasib yang menimpa penduduk di Pulau Redang yang terpaksa bertukar bidang setelah dikuasai syarikat-syarikat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut ‘BN Juga Kesudahannya’ di Kampung Gong Manok, Kuala Besut di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan Ahli DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Nawi yang juga Ahli DUN Hulu Besut berkata, tapak projek pembinaan resort tersebut dipercayai telah menjadi kawasan larangan termasuk dalam kalangan penduduk tempatan di pulau itu.

Perjanjian pajakan antara kerajaan negeri dan syarikat perhotelan terlibat diadakan pada tahun lalu. “Penduduk di Parlimen Besut bersama penduduk tempatan akan membuat bantahan secara besar-besar selepas ini sekiranya kerajaan ne­geri tidak mengambil tindakan membatalkan projek pembinaan resort tersebut,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN