fbpx

Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM400,000

SEBAHAGIAN mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Tanjung Rambutan, Ipoh kelmarin. - UTUSAN/IHSAN PDRM

IPOH: Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM400,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Tanjung Rambutan di sini kelmarin.

Dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan pukul 5.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat mengenai premis itu yang disyaki dijadikan tempat simpanan mercun dan bunga api tanpa permit.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menyita sebuah lori dan merampas 715 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Isnin ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya di sini.

Dalam pada itu Mohd. Yusri meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang di tempat masing-masing.

“Maklumat itu bukan sahaja membantu pihak polis mengambil tindakan segera dalam membanteras jenayah malah dapat memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN