Polis rampas 30 mesin bitcoin dalam banglo di Sitiawan - Utusan Malaysia

Polis rampas 30 mesin bitcoin dalam banglo di Sitiawan

MESIN bitcoin yang ditemukan dalam serbuan di sebuah banglo di Sitiawan kelmarin. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menumpaskan kegiatan melombong bitcoin dan mencuri bekalan elektrik dalam satu serbuan di sebuah banglo di Sitiawan, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10.50 malam itu, polis merampas 30 mesin bitcoin yang terdapat dalam premis tersebut.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan berikutan tiada sesiapa berada di premis tersebut ketika serbuan dilakukan.

“Operasi itu termasuk memotong bekalan elektrik di premis tersebut dengan bantuan Juruteknik Khas syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak polis.

Nor Omar juga memberitahu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah menjalankan operasi yang dikenali sebagai Op Bitcoin sepanjang tahun lalu dengan melakukan 49 serbuan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 tangkapan serta 2,510 unit mesin bitcoin dirampas.

Jelasnya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 68 serbuan dilakukan dan daripada jumlah tersebut sebanyak empat tangkapan serta 2,429 unit mesin bitcoin dirampas.

Tegas beliau, IPD Manjung akan terus menjalankan operasi secara berterusan dan memerangi habis-habisan kegiatan mencuri arus elektrik khususnya dalam kegiatan melombong bitcoin di dalam daerah Manjung.

“Pihak IPD Manjung tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membendung kegiatan tersebut dan menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini kepada Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya