ALOR SETAR: Polis melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta yang dirampas sejak 2014 hingga tahun lalu di seluruh negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kontraktor bertauliah membawa barang kes yang telah selesai itu ke sebuah pusat pelupusan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
Katanya, barangan yang dilupuskan itu merangkumi pelbagai jenis dadah kecuali ganja yang membabitkan 3,506 kes sepanjang tujuh tahun tersebut.
“Pelupusan dadah semakin kurang dan ini menunjukkan kejayaan polis mengurangkan kegiatan melibatkan dadah di negeri ini. Sebelum ini, kes dadah di Kedah adalah antara 15 hingga 20 kes sehari.
“Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini kes dadah hanya sekitar lapan hingga 15 kes sehari. Ini menunjukkan satu kejayaan kepada polis dalam membasmi masalah dadah di negeri ini. Ini adalah hasil pelbagai operasi yang dijalankan terutama di kawasan ‘port’ dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.
Wan Hassan berkata, daerah Kota Setar dan Sungai Petani adalah kawasan rampasan tertinggi di Kedah dan polis terus meningkatkan operasi terutama di lokasi yang sudah dikenal pasti selama ini.
Katanya, operasi ini akan tetap diteruskan supaya pengedar dadah sukar untuk masuk ke ‘port’ dadah bagi mengedar barangan terbabit.
“Begitu juga dengan rampasan daun ketum yang semakin kurang di kawasan sempadan. Ini menunjukkan aktiviti itu sukar untuk menembusi kawalan yang dijalankan oleh pihak berkuasa selama ini.
“Difahamkan peningkatan kawalan oleh polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyebabkan aktiviti penyeludupan semakin kurang . Walaupun kes penyeludupan semakin kurang tetapi pihak berkuasa tetap akan meningkat kawalan di kawasan sempadan,” ujarnya. – UTUSAN