MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan empat kerusi Parlimen di Melaka yang perlu dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membolehkan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerusi berkenaan adalah Kota Melaka, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu dan Alor Gajah yang dahulunya dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Beliau menjangkakan PH tidak berdepan kesukaran untuk mempertahan Kota Melaka memandangkan ia adalah kubu kuat DAP sejak sekian lama, namun perlu memberi lebih perhatian kepada Hang Tuah Jaya kerana terdapat ura-ura bahawa seorang daripada bekas Ketua Menteri Melaka bakal bertanding di situ mewakili parti lawan.
Meskipun tidak menamakan pemimpin itu secara jelas, namun dipercayai merujuk kepada Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang mungkin menjadi calon Perikatan Nasional (PN), memandangkan Datuk Seri Idris Haron telah menyertai PKR.
“Kota Melaka memang kubu DAP sudah lama. Saya yakin dan percaya kita boleh kekalkan Kota Melaka. Hang Tuah Jaya, kita mesti wajib kekalkan Hang Tuah Jaya dalam PRU15 ini. Sudah dua kali panglima (Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin) kita ini kalahkan mantan Ketua Menteri Melaka (Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam).
“Saya dengar ada satu lagi mantan Ketua Menteri Melaka nak masuk sekarang. Tak apalah mantan siapa pun datanglah, saya percaya Hang Tuah Jaya boleh kekal bersama PH.
“Saya menaruh harapan dan kepercayaan kepada rakyat Melaka sekurang-kurangnya menyumbang empat kerusi Parlimen kepada pembentukan kerajaan PH,” katanya ketika berucap pada Himpunan Harapan Melaka Bangkit di Bukit Baru di sini, malam tadi.
Mengulas khabar angin Dewan Rakyat akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, tindakan sedemikian memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara.
“Kalau ini berlaku, confirm (pasti) ini kerajaan yang paling tidak bertanggungjawab dalam dunia. Mana ada satu kerajaan yang umumkan kepada seluruh dunia, hendak buat belanjawan tapi bubar pada hari itu.
“Ini akan memberi kesan yang cukup negatif kepada ekonomi negara kita sebab Bajet ini diperhatikan oleh pelabur, diperhatikan oleh syarikat-syarikat korporat, pelabur asing dan pasaran. Sudah tentu kalau kita buat sesuatu begini, apa mesej yang kita hendak hantar kepada dunia luar?” soalnya. – UTUSAN